27 August 2010

Tujuan menulis

Bismillahirrahmanirrahim....
Assalamualaikum wbt...
Alhamdulillah masih menyedut oksigen (O2) yang dibekalkan oleh Allah melalui tumbuh-tumbuhan yang melata di muka bumi. Buat posting yang pertama ini, mohon saya perkenalkan diri sendiri.

Saya hanyalah seorang hamba Allah yang lemah dan serba kekurangan. Maka, tegurlah saya andai silap dalam meluahkan bicara hati, merakam apa terngiang di telinga, menulis apa yang berlegar di minda dan menafsir setiap yang berlaku. Harapan saya blog ini menjadi medan saya membetulkan diri dan meningkatkan prestasi diri terutama dalam bidang penulisan.

Apabila menjenguk ke blog-blog dan web-web  yang pelbagai di alam maya ini, saya menafsir dan menganggarkan bahawa setiap pemilik blog dan web itu mempunyai tujuan masing-masing dalam menulis. Antara tujuan utamanya:
1) Medium perkongsian
blog dijadikan medium perantaraan untuk berkongsi maklumat dan cerita diri sendiri kepada orang lain samada dikenali atau tidak. mestilah ada yang tidak dikenali kerana ia begitu terbuka untuk dilawati dan dijelajahi oleh sesiapa sahaja. Ada orang menulis untuk menceritakan perkembangan diri sendiri terutama golongan yang dikenali ramai seperti artis, profesional dan ahli politik.
Saya pernah membaca tujuan seorang wanita berblog kerana ingin menulis perkembangan anaknya untuk tatapan suaminya yang bekerja jauh di perantauan. Blog adalah media yang mudah, murah berbanding media lain seperti telefon. Beliau boleh menulis bila-bila masa dan suaminya dapat mengakses bila-bila masa sahaja untuk melihat perkembangan anak mereka. Yang penting ia boleh diulang tengok berkali-kali.

2)Menyampaikan ilmu
Inilah tujuan paling murni bagi saya. Menyampaikan apa yang kita tahu kepada orang lain. Golongan ilmuwan dalam bidang masing-masing berlumba-lumba menulis di blog atau web bagi menyampaikan, menerangkan dan berinteraksi dengan pelawat mereka tanpa pertemuan 4 mata. Blog-blog inilah yang paling banyak dikunjungi orang kerana sebagai manusia yang lemah, amat banyak ilmu yang belum diketahui. Saya sendiri misalnya, apabila menjumpai satu maklumat baru, saya akan mencari lagi bagi meningkatkan pemahaman. Internet adalah medium yang senang dan cepat. Namun, berhati-hati dengan setiap fakta yang didapati. Rujuklah pada yang pakar. Berguru dengan orang yang betul-betul faqih dalam bidang tersebut. Jangan sembrono pula. Manakala bagi penulis pula, berhati-hati dengan apa yang anda sampaikan. Kalau silap, ia bakal mengundang ajaran sesat pula :-)

3) Melariskan jualan
Tujuan ini bukan asing lagi sekarang. Kewujudan blog-blog dan web yang bertujuan menjual pelbagai barang. Sebut sahaja apa jenis barang, kebanyakan sudah dijual di internet. Malah ia menjadi pilihan kerana pengguna lebih senang berurusniaga. Tanpa kesesakan lalulintas, tanpa masalah parking, tanpa karenah orang lain, lebih menjimatkan masa dan tenaga malah kadang-kadang lebih menjimatkan.Hanya dapatkan maklumat, pilih, maklumkan kepada penjual, pindahkan wang dan sahkan. Kemudian tunggu barangan dihantar. Namun ada risikonya, berhati-hatilah.

4) Membina pengaruh
Individu yang memerlukan pengaruh seperti ahli politik, artis, motivator, atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam bidang yang memerlukan perhatian orang lain mewujudkan blog bagi menarik pembaca ke arahnya, menyokongnya seterusnya menambahkan nilai diri mereka.

5) Medan melatih diri
Melatih diri? Kenapa? Ya, bagi yang berminat dalam dunia penulisan, blog dan web menjadi tempat mereka melatih dan menyampaikan karya mereka kepada orang ramai. Karya-karya penulis dimuatnaik dan diterbitkan di sini dengan tujun mendapatkan maklumbalas, saranan dan kritik bagi memperbaiki lagi mutu karya mereka. Jika dulu penulis hanya memeramkan karya mereka di dalam komputer masing-masing, namun dengan kemudahan jalur lebar kini, semuanya boleh dipaparkan kepada pembaca. Maklumbalas juga lebih cepat dan mungkin lebih ikhlas kerana boleh mengkritik secara bebas.
Inilah tujuan saya mewujudkan blog ini. menjadikan ia medan untuk meningkatkan kemahiran diri dalam bidang penulisan. Oleh itu, kritik dan bagilah saranan kepada saya agar ianya mendatangkan manfaat untuk kita semua.

Ini bukan blog pertama.
Ini ayat yang saya dapat daripada satu blog yang diwujudkan oleh seorang individu bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Individu ini membuka satu blog semata-mata memenuhi permintaan orang ramai yang inginkan maklumat terhadap suatu perkara. Padahal beliau sudah mempunyai beberapa blog lain. Maka, ingin saya nyatakan bahawa, ini bukan blog pertama. Ok, blog yang lain, lain ceritanya.

Ok, selamat berjaya kepada semua dalam bidang masing-masing.
Moga Allah memberi yang terbaik buat kita semua.
Amin