Showing posts with label panduan ibu bapa. Show all posts
Showing posts with label panduan ibu bapa. Show all posts

07 February 2014

Tips untuk anak makan sayur

Bagi anak-anak, mungkin sayuran adalah makanan yang sangat dibenci. Padahal dalam sayuran mengandung berbagai vitamin maupun gizi yang mampu menutrisi tubuh. Anak-anak pada umumnya lebih menyukai makanan yang manis ataupun masin. Bagi orang tua, perlu melatih buah hatinya untuk makan sayur sejak bayi demi memenuhi nutrisi dalam tubuh bayi yang masih pada tahap berkembang fizikal mahupun psikologi.

Ibu bapa kadang-kadang kurang memberi perhatian pentingnya sayur bagi anak, dan hanya menuruti kemahuan anak meski tak suka dengan sayur dengan alasan terlalu sayang kepada buah hatinya. Dengan kurangnya pengambilan sayuran pada anak maka akan membuat kesihatan anak sering terjejas. Makanan segera mahupun daging juga makanan berprotein tinggi lainnya akan membuat kesihatan anak tidak optimum. Pengambilan lemak yang berlebihan tanpa diimbangi sayuran dan buah-buahan juga akan membuat anak mengalami obesiti/kegemukan.


Beberapa tips agar anak suka dengan sayur:
a.  Biasakan untuk ikut makan sayur bersama anak
Agar anak mahu makan sayur, sebagai orang tua anda juga harus suka dengan sayuran. Berikan contoh dan terapkan kebiasaan meyukai sayuran kepada buah hati anda. Makan sayuran bersamanya. Ciptakan aktiviti makan sayur yang menyenangkan dan mengasyikkan sehingga buah hati anda tertarik untuk ikut makan sayur.
b.  Hindarkan menghukum anak yang tidak mahu makan sayur
Untuk buah hati Anda yang tidak suka dengan sayur, meski telah dipaksa. Jangan sekali-kali menghukumnya kerana hal ini menjadi trauma baginya dan boleh juga menghilangkan seleranya terhadap sayur sepenuhnya. Jika buah hati Anda makan sayuran, puji dan tunjukan sikap positif. Jadikannya suatu kebiasaan bukan paksaan, hukuman, ataupun hal lainnya.
c.  Kreatifkan olahan sayur
Dalam mengolah sayuran, anda harus kreatif dalam menciptakan rasa sayur yang enak, lazat dan  lebih sedap dari daging ataupun makan berprotein lainnya. Jika Anda memasak sayuran untuk buah hati anda, usahakan mengganti menu sayuran setiap hari sehingga anak tidak bosan dengan sayur. Usahakan pula untuk memberikan makanan atau lauk sampingan selain sayur sehingga anak merasa suka, tenang serta menikmati ketika harus makan sayuran.
d.  Gantikan menu sayur dengan buah-buahan
Sayuran bukan hanya sumber nutrisi saja, tetapi buah-buahan adalah makanan dari tumbuhan yang memiliki nutrisi penting seperti sayuran. Bagi anak yang sama sekali tidak suka dengan sayur, Anda boleh memberikannya buah-buahan.
e.  Berikan anak suplemen
Suplemen biasa menjadi langkah terakhir yang dilakukan orang tua agar buah hati suka dengan sayuran. Jika semua cara telah dilakukan anak tetap tidak suka dengan sayur, suplemen boleh diberikan untuk memenuhi keperluan nutrisi dalam tubuh. Perlu ingat, suplemen yang berlebihan dan berkepanjangan juga akan berakibat buruk bagi kesihatan anak. Usahakan sebisa mungkin mengajak anak untuk makan sayur secara langsung tanpa suplemen.
Sumber: http://bayi.info/tips-agar-anak-suka-makan-sayuran#more

Kedai Vitamin Mama Nasih dan Vitamin Untuk Anak menawarkan suplemen untuk membantu ibu bapa menangani anak-anak tidak suka makan sayur.

Hubungi Natrah Mohamed: 011-27016822 (SMS/WhatsApp) untuk maklumat lanjut.

24 October 2011

Sakit gigi ketika hamil


WANITA hamil perlu membuat pemeriksaan gigi berkala.

Masalah ibu boleh jejaskan kandungan

IBU hamil dilarang mencabut gigi. Sama ada ia hanya satu mitos atau pun kenyataan, yang pasti, ia adalah ‘kepercayaan’ yang sudah tersebar dari mulut ke mulut sejak dulu lagi.

Kenyataannya, walaupun seorang wanita itu sedang hamil, mereka boleh menjalani rutin pemeriksaan berkala dan rawatan gigi, namun pastikan ia tidak membabitkan prosedur agresif.
Pakar pergigian Klinik Pergigian Halina, Dr Halina Haron, berkata bakal ibu dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang rawatan seperti cabutan membabitkan suntikan pelalian terutama pada tiga bulan terawal dan tiga bulan terakhir kehamilan.

“Trimester pertama dan ketiga adalah waktu penting kehamilan, yang mana janin sedang berkembang. Justeru, sebarang rawatan membabitkan suntikan yang terus masuk ke dalam darah perlu dielakkan begitu juga dengan pengambilan ubat antibiotik, tahan sakit serta imbasan X.”

“Bagaimanapun, jangan salah faham sehingga tidak bertemu doktor walaupun mengalami masalah gigi serius kerana mencuci plak atau tampalan boleh dilakukan seperti biasa. Malah, jika masalah gigi serius sehingga perlukan suntikan, dos rendah akan digunakan,” katanya.

Ketika hamil, gusi juga mudah bengkak dan mendapat jangkitan berpunca daripada perubahan hormon yang menyebabkan bertambahnya pengaliran darah di dalam badan.

“Kebiasaannya, ibu mengandung mengalami sedikit pendarahan pada gusi mereka dan ia biasanya berlaku ketika memberus atau melakukan flos di celah gigi. Gusi bengkak atau gingivitis jika tidak dibiar melarat boleh menyebabkan penyakit gusi kronik atau pun dipanggil periodontal disease yang akhirnya menjejaskan bayi dalam kandungan. Kesannya, ibu mungkin bersalin awal atau bayi tidak cukup berat ketika lahir,” katanya.

Kerana itu, Dr Halina mengingatkan ibu hamil supaya berjumpa doktor gigi jika mengalami sebarang tidak keselesaan terhadap gigi dan gusi sepanjang tempoh kehamilan bagi mendapatkan rundingan rawatan sewajarnya.

Kata Dr Halina, selain pregnancy gingivitis, ibu hamil juga cenderung mengalami pregnancy epulites, yang menyebabkan tumbuh benjolan kecil pada gusi antara celahan gigi.

“Tapi tidak perlu bimbang kerana ia normal dan berlaku kerana perubahan hormon, malah akan kecut selepas bersalin,” katanya.

Kata Dr Halina, selain masalah gusi, kerosakan gigi adalah masalah kedua sering dialami ibu mengandung. Ia biasanya berlaku kerana mulut cenderung berasid dan air liur juga kering. Katanya, wanita mengandung kebanyakannya mengalami mabuk pada waktu pagi (morning sickness) dan ketika muntah, jus gastrik bersifat asid dari perut akan termasuk ke dalam mulut yang akhirnya boleh menghakis permukaan gigi.

“Kaedah terbaik, sentiasa amalkan berkumur dengan air kosong atau menggunakan ubat kumur bagi meneutralkan kembali mulut. Kadangkala, ubat gigi juga boleh menyebabkan loya. Jadi, saya sarankan bakal ibu supaya sentiasa mencuba perisa ubat gigi berbeza sehingga berjumpa yang sesuai dan jika tetap tidak boleh menggunakan sebarang ubat gigi, pilih ubat kumur berflorida,” katanya.

Dr Halina memberitahu, paras hormon yang meningkat sewaktu kehamilan juga boleh menyebabkan tisu pemegang gigi atau ligamen serta tulang rahang sekeliling akar gigi terjejas lantas menyebabkan gigi longgar. Pemakanan juga sering diambil mudah wanita mengandung malah selalunya mereka akan mengidam sesuatu yang manis tanpa langsung menyedari bahawa gula itu musuh ketat kepada gigi.

“Tapi, tiada siapa berani berkata tidak kepada ibu hamil yang mengidam. Nasihat saya, rajin-rajinlah berkumur dan sebolehnya, kurangkan pengambilan makanan bergula kerana di bulan ketiga kehamilan, gigi janin juga sudah terbentuk. Sebaiknya, amalkan memakan makanan kaya sumber kalsium seperti susu, yogurt dan keju. Pil Obimin dibekalkan semasa mengandung juga mengandungi vitamin berserta kalsium, lengkap untuk tumbesaran janin,” katanya.

Jelas Dr Halina, wanita dinasihatkan supaya tidak ambil ringan kesihatan oral dengan melakukan pemeriksaan gigi berkala enam bulan sekali sedari awal iaitu bermula sebelum hamil dan jadikan ia rutin sebelum, semasa juga selepas melahirkan. Katanya, jangkitan pada gusi boleh membahayakan wanita hamil dan bayi dalam kandungan. Masalah 'periodontal disease' boleh menyebabkan komplikasi, termasuk kelahiran pramatang dan bayi lahir kurang berat badan.

“Mengikut kajian, bakteria di dalam mulut ibu boleh berpindah ke dalam mulut janin dan jangan terkejut, apabila dilahirkan kelak, jika ibunya mengalami masalah mulut berbau, anaknya juga berkemungkinan mengalami masalah sama,” jelasnya.

Jadi, teruskan pemeriksaan berkala di klinik gigi anda selepas tempoh berpantang dan jika bayi mencapai usia setahun setengah hingga dua tahun, ia menjadi tanggungjawab ibu juga untuk membawanya menjalani rutin sama seawal usia.

INFO - Punca perubahan keadaan gigi dan gusi ketika hamil
  • Perubahan hormon.
  • Bertambahnya pengaliran darah dalam badan mengakibatkan gusi bengkak, menjadi sensitif dan berdarah.
Ikuti langkah ini:

* Gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari
* Gunakan berus yang lembut dan gosok secara perlahan-lahan dan berhati-hati
* Jika gigi sensitif, gunakan ubat gigi khas untuk gigi sensitif
* Jika gusi berdarah, rawat dengan ketulan ais
* Flos gigi setiap hari. Jika boleh, setiap kali selesai makan
* Kurangkan gula dan makanan manis, termasuk biskut, kek dan minuman soda
* Dapatkan pemeriksaan gigi secara berkala

Jumpa doktor jika:

* Gusi berdarah dengan banyak
* Gusi sangat sakit
* Nafas berbau busuk tidak hilang walaupun selepas memberus gigi
* Gigi longgar
* Ada benjolan atau ketumbuhan dalam mulut
* Gigi terasa sakit

Sumber : Siti Nur Almizan Aripin [snur@bharian.com.my] di BHarian 29/04/2011


19 October 2011

TV tidak sesuai...


Akhbar berita Harian bertarikh 2011/10/19

NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak.
Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya.
Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik. 

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran. - AFP 



10 October 2011

Didik anak memohon maaf




Pernahkah anda menghadapi situasi di mana ketika anak anda sedang asyik bermain dengan rakan sebayanya, tiba-tiba si kecil anda secara tidak sengaja menolak temannya hingga terjatuh dan menangis? Walaupun temannya menangis, namun si kecil anda tidak mengendahkannya. Ðia langsung tidak peduli atau membantu temannya apatah lagi mengucapkan kata-kata maaf.

Ya, situasi ini mungkin pernah anda alami. Sudah berulang kali anda meminta si kecil agar memohon maaf setiap kali melakukan kesalahan, tapi selalu dia hanya melihat sahaja tanpa rasa bersalah. Adakah ia berlaku kerana anak ini tidak tahu atau tidak menyedari bahawa dia bersalah?

Sebenarnya, ucapan minta maaf atau menyesal memang agak sukar untuk dilakukan oleh anak ini. Pada usia tersebut, anak sedang berada pada fasa egoistik sehingga belum mampu melihat permasalahan dari sudut pandangan orang lain.

Namun, hal ini tidak boleh dibiarkan begitu saja. Seorang anak harus dibiasakan dan diajarkan mengucapkan kata ‘maaf’atas setiap kesalahan yang dilakukannya. Untuk mendidik anak mudah mengucapkan maaf, faktor terpenting adalah ‘pembiasaan’. Apabila anak ini tidak biasa didedahkan dengan situasi sebegini, ia akan terbawa hingga usia dewasa. Ia juga mungkin mempengaruhi pada perkembangan sosialnya.

Anak mungkin tidak akan disukai di dalam pergaulannya. Selain itu, emosi anak juga tidak berkembang secara positif kerana tidak mengakui kesalahan yang dilakukannya. Sehubungan itu, mendidik anak untuk menjadi seorang yang pemaaf adalah satu keperluan untuk menjadikan dia seorang insan yang merendah diri dan menghormati orang lain yang berada di persekitarannya.

1 – Tunjukkan contoh

Lazimnya anak akan melakukan peniruan terhadap orang yang hampir dengannya, termasuk ibu bapa atau pengasuhnya. Jadi, inilah masa untuk menunjukkan contoh situasi anda mengucapkan maaf. Contohnya, tunjukkan kepadanya bagaimana seharusnya kata maaf diucapkan.

Tunjukkan ketika anda secara tidak sengaja telah menumpahkan susunya, ucapkan permintaan maaf kepadanya. Cara demikian, anak akan terbiasa melihat orang-orang terdekatnya mengucapkan maaf setelah melakukan kesalahan. Secara tidak langsung, dia juga akan bersikap begitu kepada rakan sebayanya atau orang lain.

2 – Tunjukkan penyesalan dengan bahasa tubuh

Pergerakan tubuh juga memainkan peranan untuk mengucapkan kata-kata maaf. Gunakan bahasa tubuh anda pada ketika mengungkapkan permintaan maaf. Anda boleh melakukannya dengan menggunakan gerakan mata ketika mengucapkan kata maaf, menggenggam tangannya dan memeluknya. Ini membuatkan dia berfikir bahawa ucapan minta maaf ini adalah suatu yang amat perlu dalam kehidupan.

3 – Ðorong anak bertanggungjawab

Selain mengucapkan kata maaf, ajarkan pula anak anda untuk bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukannya. Misalnya, ketika dia menolak teman sebayanya hingga terjatuh. Setelah si kecil mengucapkan kata maaf, ajak dia untuk membantu temannya berdiri atau memberikan penampal luka. Tindakan ini sebagai bahagian dari pembelajaran tentang tanggungjawab atas kesalahan yang dilakukannya.

4 – Berikan pujian

Tidak ada salahnya memberikan pujian setelah anak anda mengucapkan kata maaf setiap kali dia melakukan kesalahan. Hal ini sebagai penguat bahawa yang dilakukannya adalah betul dan perlu diulanginya lagi jika berlaku perkara yang sama.

5 – Menyedari kesilapan

Anda harus mengajarkan si kecil bila waktu sesuai untuk mengucapkan kata-kata maaf. Contohnya setelah dia menyusahkan orang lain, mencederakan rakannya, mungkir janji, memecahkan pasu atau melakukan perkara-perkara yang dilarang. Dengan cara ini, membantu dia memahami bahawa bukan semata-mata minta maaf tanpa mengerti alasannya.

Tips mudah :
1. Jangan bertangguh untuk minta maaf.
2. Mengajar anak menghormati rakan sebaya.
3. Tonjolkan sikap bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan.
4. Ðedahkan adab dan sopan santun ketika berkawan.
5. Beri pujian setelah dia mengucapkan kata maaf.

Oh, artikel ini saya copy paste sahaja. Terima kasih Laman seri.

29 September 2011

Ahmad dan Berus Gigi


Ahmad sudah berusia 1 tahun 3 bulan. Gigi ada 4 batang atas, 4 batang bahagian bawah, ada 4 gigi geraham atas dan bawah sedang tumbuh. Dia mula makan nasi sewaktu berumur 1 tahun 1 bulan. Sekarang ni, pantang jumpa makanan keras macam kerepek, keropok, dan biskut, mesti mahu dikunyahnya. 
Gigi Ahmad. Sukarnya hendak dapatkan gambar ini.
Saya perlu memulakan penjagaan giginya sekarang. Apabila baca artikel hasil dari carian google, rupanya sudah terlewat. Namun masih belum terlambat. Hehe.
Artikel ini saya ambil dari sini. Panduan untuk penjagaan gigi bayi dan kanak-kanak.

Bayi
Kunci utama untuk memupuk tabiat suka memberus gigi adalah memulakannya dari AWAL. Paling bagus jika anda memulakannya beberapa hari selepas lahir. Selepas bayi anda menyusu, lapkan gusi, lidah dan langit-langit bayi anda dengan kain lembab. Ini bertujuan untuk :
1. Membersihkan gusi, lidah dan langit-langit bayi anda dari plak yang terbentuk
2. Membiasakan anak anda merasa ada jari atau sesuatu di dalam mulutnya supaya anak anda tidak akan berasa tidak selesa atau takut apabila anda mahu menggosokkan giginya kelak.



Selepas 6 bulan
Gigi pertama bayi anda biasanya akan tumbuh apabila umur bayi anda sekitar 6 bulan. Biasanya gigi bawah di bahagian hadapan akan tumbuh. Ada yang tumbuh awal dan ada juga yang tumbuh lambat jadi jangan risau sekiranya hal ini terjadi. Selepas gigi pertama tumbuh, anda boleh membeli berus gigi bayi. Terdapat bermacam-macam berus gigi bayi di pasaran. Ada yang boleh disarungkan pada jari dan ada yang berbentuk seperti berus gigi biasa. Terpulang kepada anda untuk memilih yang mana sesuai untuk bayi anda. Pastikan berus gigi itu cukup kecil dan mempunyai berus yang lembut.


Saya lagi suka menggunakan berus gigi yang boleh disarungkan pada jari untuk permulaan kerana kita boleh mengagak berapa dalam kita memberus dan apa yang kita berus. Selepas bayi mempunyai lebih banyak gigi, dan anda telah biasa memberus gigi anak anda, anda boleh bertukar kepada berus gigi yang berbatang.



Ini berus giginya. Kami beli malam tadi ;)





Ubat gigi
Tidak perlu menggunakan ubat gigi bila memberus gigi anak anda yang berusia di bawah 18 bulan. Anda boleh menggunakan ubat gigi berflorida selepas anak anda berusia 2 tahun ( apabila anak anda sudah tau berludah). Sekiranya anak anda mempunyai risiko tinggi untuk mendapat karies ( gigi berlubang), anda disarankan untuk menggunakan ubat gigi berflorida tetapi pastikan anda hanya meletakkan jumlah yang kecil sahaja ( sebesar kacang pis) di atas berus gigi . Ini adalah kerana, jika anak anda berusia kurang dari 6 tahun dan menelan ubat gigi berflorida dalam jumlah yang banyak, gigi kekal anak anda akan mendapat fluorosis ( tompok-tompok putih – kecoklatan). Ada juga ubat gigi tanpa florida untuk kanak-kanak dan sekiranya anak anda tidak mempunyai risiko tinggi untuk mendapat karies maka ubat gigi tanpa florida amat sesuai untuk digunakan.


Cara memberus gigi anak anda
Berus gigi anak anda 2 kali sehari, pagi dan juga malam sebelum tidur.
1. Posisi paling bagus untuk anda berdiri ialah di belakang atau tepi anak anda dan memegang rahang bawah anak anda dengan lembut.
2. Berus bahagian permukaan gigi belakang dahulu kerana bahagian ini digunakan untuk mengunyah makanan dan sangat senang mendapat karies. Kemudian, teruskan dengan bahagian permukaan tepi gigi dan juga bahagian sebelah dalam gigi belakang.
3. Selepas itu berus pula bahagian gigi hadapan, permukaan luar dan dalam gigi.
4. Gunakan teknik berusan secara bulatan kecil seakan gegaran supaya seluruh permukaan gigi dibersihkan dengan sempurna.
5. Luangkan masa dalam 3 minit untuk memberus gigi anak anda. Nyanyikan lagu semasa memberus supaya apabila habis lagu dalam masa 3 minit, maka pemberusan gigi pun habis.
5. Suruh anak anda berkumur dan ludahkan semuanya. Jangan risau sekiranya anak anda tertelan sedikit ubat gigi yang mempunyai kandungan florida rendah. Jika anak anda selalu menelan ubat gigi, gunakan ubat gigi tanpa florida.
6. Jangan lupa memuji anak anda kerana telah memberus gigi.



Apa perlu buat jika anak tidak mahu memberus gigi?
Ada kanak-kanak yang tidak suka anda menggosok gigi mereka. Mereka mahu membuatnya sendiri. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun tidak akan menggosok gigi dengan betul kerana mereka masih tidak tahu menggunakan berus gigi dengan betul. Jadi, anda perlu memberus semula gigi anak anda selepas anak anda memberusnya. Anda juga boleh mencuba beberapa tip untuk menjadikan aktiviti memberus gigi disukai anak anda:
1. Pastikan aktiviti memberus gigi sesuatu yang seronok dan bukannya satu tugas yang perlu dibuat oleh anak anda setiap hari
2. Biarkan anak anda memberus gigi anda, kemudian memberus giginya sendiri dan kemudian anda pula menyudahkan pemberusan gigi.
3. Biar dia memilih berus gigi dan ubat gigi kesukaannya
4. Nyanyikan lagu atau buatkan aktiviti gosok gigi seperti satu permainan
5. Bacakan buku mengenai gigi, pemberusan gigi dan juga doktor gigi
6. Jangan gunakan paksaan semasa memberus gigi anak anda, sekiranya anak anda tidak mahu memberus nasihatkan anak anda secara perlahan-lahan sehingga dia mahu memberus gigi

Jika anda jadikan gosok gigi ini seperti sesuatu yang menyeronokkan tentu anak anda sukakannya. Anak anda juga akan suka memberus gigi jika mereka melihat anda memberus gigi. Mulakan dari awal, supaya senang mendidik anak menggosok gigi kelak. Ingatlah bahawa gigi anak anda amat penting walaupun gigi itu akan diganti dengan gigi kekal kerana tanpa gigi, anak anda akan menghadapi masalah untuk makan dan boleh mengganggu tumbesaran mereka.
Selamat mencuba!
Botol pun Ahmad suka gigit. tahap bahaya ni ;)

06 July 2011

1 Teknik Mudah & Berjaya Untuk Melahirkan Anak-anak yang Taat dan Mendengar Kata

Artikel ini dipetik dari FB kawan saya. Kaedah yang simple, InsyaAllah, berbaloi.


Ditulis oleh: Ummu Solihin 

Sewaktu saya mula menulis tentang tajuk post kali ini, telah beberapa kali saya meng-”backspace” kan ia dan mula menaip tajuk yang lain. Ramai orang menggariskan pelbagai formula untuk melahirkan anak-anak yang taat dan mendengar kata, tetapi berani-berani pula Ummu Solihin menyatakan bahawa ada satu teknik MUDAH dan BERJAYA untuk melahirkan anak-anak seperti ini :)


Ya, saya akui. Memang benar, ada pelbagai jenis teknik yang boleh digunakan oleh ibubapa untuk melahirkan anak-anak yang taat dan mendengar kata. Tak salah jika kita mencuba semua teknik yang disarankan. Namun bagi orang macam saya, insan yang lemah dan tidak mampu untuk mengamalkan kesemua petua, maka saya suka mengambil teknik yang MUDAH dan “sure” berjaya (InsyaAllah). Biarlah 2 atau 3 teknik sahaja sekali pun..yang penting, ISTIQAMAH :)

Kebiasaannya, jika kita perhatikan sifat anak-anak banyak dipengaruhi oleh orang yang berada di sekitarnya. (Saya pernah ceritakan dalam post sebelum ini) Sekiranya dia duduk dalam lingkungan manusia, yang suka melawan percakapan dengan mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang sopan, maka sedikit demi sedikit anak itu akan ter-ikut-ikut untuk meggunakan perkataan yang sama dalam perbualan mereka, waima bersama dengan ibubapa atau orang yang lebih tua.

Maka, untuk melahirkan anak-anak yang taat dan mendengar kata, hendaklah kita hadirkan bersama-sama dengan mereka, golongan yang bersifat taat dan mendengar kata juga. Lebih banyak mereka berdamping dengan golongan ini, maka lebih banyak sifat taat akan diambil dan menyerap dalam diri mereka. Persoalannya…Siapakah golongan ini??

Ya. Tidak lain tidak bukan, mereka ialah para malaikat.

Malaikat adalah makhluk Allah swt yang suci daripada segala dosa dan mereka ini bersifat “Samii’naa wa ato’naa” ~ kami dengar dan kami taat. Apabila Allah swt perintahkan segolongan malaikat untuk bersujud, maka mereka akan terus bersujud (tanpa mengangkatkan kepala walau se-milimiter pun) sampailah ke hari kiamat.


Untuk mewujudkan hubungan “persahabatan” di antara anak-anak kita dengan para malaikat, maka hendaklah kita mewujudkan MAJLIS TAKLIM di dalam rumah kita. Majlis Taklim adalah merupakan sebuah majlis ilmu yang dibacakan ayat-ayat Allah swt & hadis-hadis Nabi saw, berkaitan dengan segala perintah dan larangan Allah swt serta sunnah (cara hidup) Rasulullah saw.

Dari Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: “Tiadalah berkumpul suatu kaum di dalam rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca kitab-kitab Allah, saling mengajarkan sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka sakinah, diliputi oleh rahmat, dikerumuni oleh para malaikat, dan mereka akan disebut oleh Allah swt dalam majlis para malaikat yang berada di sisiNya.” (H.R Muslim dan Abu Daud)

Apabila di dalam rumah kita, adanya majlis seumpama ini, maka para malaikat akan berbondong-bondong datang ke rumah kita. Mereka akan mengembangkan sayap-sayap mereka, dan duduk bertindan-tindan..sampailah ke arasy Allah swt.

Bayangkan sahabat-sahabat…

Berapa ramai malaikat yang akan datang ke rumah kita. Sehinggakan, kalaulah anak kecil kita yang ” tidak boleh duduk diam” selama berada dalam majlis ini, InsyaAllah, ke mana sahaja pun mereka berlari, pasti ada saat dan ketika, bahu mereka, tangan mereka, atau jari mereka, ter-sentuh dengan para malaikat. Oleh kerana, terlalu ramai bilangan malaikat yang berada di rumah kita sewaktu majlis taklim diadakan.

Majlis Taklim merupakan satu sunnah Rasulullah saw. Di dalam majlis-majlis seumpama inilah, Rasulullah saw telah mendidik sahabat-sahabat r.ahum, sehingga mereka menjadi golongan masyarakat yang paling berjaya sehingga mendapat gelaran radhiallahu a’nhum (Allah redha ke atas mereka) daripada Allah swt.

Yakinlah, dengan izin Allah swt, sekiranya kita mengamalkan sunnah ini (mengadakan majlis taklim di rumah kita), maka Allah swt akan mendidik diri kita dan anak-anak kita, sama sebagaimana Allah swt mendidik Rasulullah saw dan para sahabat r.ahum. InsyaAllah, sedikit sebanyak sifat-sifat mereka akan terbentuk dalam diri kita dan juga anak-anak kita, kerana kita bersungguh-sungguh untuk menghidupkan sunnah ini di dalam rumahtangga kita.

Aamin..

p/s: Mari adakan majlis ilmu di rumah kami...



26 May 2011

Ada apa dengan nama?

"Baby tu akan dinamakan Thaqif" Lapor suami saya sejurus balik dari melawat sahabat baiknya merangkap jiran kami yang baru sahaja menyambut cahaya mata pada awal pagi Selasa. Suami saya ke hospital sendirian kerana kereta kami rosak. Sudah berkali-kali saya menyatakan hasrat untuk ikut melawat, tetapi beliau tetap pergi sendirian. Singgah sekejap sebelum ke pasar malam katanya.

Apabila saya dan suami membincangkan tentang nama-nama anak sahabat kami yang hampir sama, saya teringat sebuah artikel dalam Solusi edisi 31. Artikel yang bertajuk Nama: Identiti Dunia Akhirat. Penulis mengulas mengenai orang Arab Makkah yang dikenalinya di sana. Pemuda arab itu memberi nama anak yang tiada maksud. Bagi mereka, nama hanya sekadar panggilan dan tidak kisah dengan maksudnya.

Jika orang Malaysia pula, sangat prihatin dengan nama anak yang bakal diberikan kepada anak atau bakal anak. Ada yang bergaduh dan tangguh berminggu-minggu sebelum nama anak ditetapkan ;). Sebenarnya, sunat menamakan anak pada hari ke tujuh. Jadi, anak saya, Ahmad Nasih dinamakan pada hari ke 7. InsyaAllah dapat pahala. Namun ada yang sudah mengannouce nama awal-awal lagi. Sebelum bersalin lagi sudah diberitahu kepada semua orang dalam FB ;)

Ada yang telah menetapkan nama anaknya dengan cantik, bermaksud baik, namun dipanggil dengan panggilan yang tiada maksud. Jadi, apa gunanya nama itu? Dengan bangganya mencanangkan nama anaknya itu yang kadang-kadang sampai 4 patah perkataan. Tetapi akhirnya dipanggil dengan satu patah perkataan yang mempunyai 3 huruf.

Nama yang baik adalah doa. Dan doa yang terbaik untuk anak adalah doa ibunya. Jadi, ibu-ibu, berilah nama yang baik buat anakmu dan panggillah dengan nama itu. Moga-moga ia menjadi doa.

Err, untuk ulasan artikel dalam majalah Solusi itu, masih belum terlambat untuk dapatkannya di pasaran.