29 October 2011

Ahmad dah pandai

Ahmad dah pandai. Serta rajin. Alhamdulillah...
Jika mama jemur kain, Ahmad akan tolong hulurkan kain dari bakul. Sehelai demi sehelai. Terutama baju-bajunya. Mama ucapkan, "Terima kasih Ahmad. Sangat rajin anak mama ini."
Kemudian Ahmad angkat bakul kosong, letakkan di tepi bilik air.

Jika mama hendak hidangkan makanan, Ahmad cepat-cepat ambil kertas surat khabar, hamparkan atas lantai. Dan bersila menunggu makanan dihidangkan depan dia. Mama cakap, "Pandai dan cepat bertindak."

Jika Ahmad sedang menyusu, mama membelek-belek jari-jari Ahmad, "kuku Ahmad ni panjang, kena potong ni."
Ahmad cepat-cepat berhenti menyusu, bangun dan mencapai penyepit kuku di atas rak. Hulurkan kepada mama sambil menyua jari-jari untuk dipotong kukunya. Mama kata, "Alhamdulillah, Ahmad faham apa mama cakap."

Jika Ahmad menunggu mama yang sedang masak di sebalik pagar besi, Ahmad main cak-cak dengan mama. Tapi bila dah lama sangat, Ahmad pun agak bosan, menangis. Mama dukung Ahmad sekejap, tunjukkan apa mama sedang buat di dapur, bagi Ahmad pegang sudip atau senduk sekejap, tolong kacaukan, kemudian Ahmad kembali menunggu di sebalik pagar. Ahmad faham mama sedang masak. "Terima kasih kerana tolong mama."

Jika mama siap mengeringkan kain, Ahmad sedia menunggu untuk membawa bakul atau baldi ke tempat jemur. Walaupun hanya beraksi mengangkat sahaja, tapi itu sangat menolong mama. hehe.

Jika mama siap melipat pakaian, Ahmad sedia membawanya masuk ke bilik, meletak di rak mama atau ke dalam bakul Ahmad. hehe... Ahmad angkat sehelai demi sehelai. Walaupun kadang kala apabila sampai ke rak pakaian itu sudah tidak berlipat lagi. "Thanks anyway."

Banyak perkembangan Ahmad hari demi hari. Itu yang dilaporkan apabila papa balik dari kerja. Bahagia melihat dia membesar depan mata. Semoga Ahmad terus berkembang dengan baik dan sudi menolong mama bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Amin...






24 October 2011

Sakit gigi ketika hamil


WANITA hamil perlu membuat pemeriksaan gigi berkala.

Masalah ibu boleh jejaskan kandungan

IBU hamil dilarang mencabut gigi. Sama ada ia hanya satu mitos atau pun kenyataan, yang pasti, ia adalah ‘kepercayaan’ yang sudah tersebar dari mulut ke mulut sejak dulu lagi.

Kenyataannya, walaupun seorang wanita itu sedang hamil, mereka boleh menjalani rutin pemeriksaan berkala dan rawatan gigi, namun pastikan ia tidak membabitkan prosedur agresif.
Pakar pergigian Klinik Pergigian Halina, Dr Halina Haron, berkata bakal ibu dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang rawatan seperti cabutan membabitkan suntikan pelalian terutama pada tiga bulan terawal dan tiga bulan terakhir kehamilan.

“Trimester pertama dan ketiga adalah waktu penting kehamilan, yang mana janin sedang berkembang. Justeru, sebarang rawatan membabitkan suntikan yang terus masuk ke dalam darah perlu dielakkan begitu juga dengan pengambilan ubat antibiotik, tahan sakit serta imbasan X.”

“Bagaimanapun, jangan salah faham sehingga tidak bertemu doktor walaupun mengalami masalah gigi serius kerana mencuci plak atau tampalan boleh dilakukan seperti biasa. Malah, jika masalah gigi serius sehingga perlukan suntikan, dos rendah akan digunakan,” katanya.

Ketika hamil, gusi juga mudah bengkak dan mendapat jangkitan berpunca daripada perubahan hormon yang menyebabkan bertambahnya pengaliran darah di dalam badan.

“Kebiasaannya, ibu mengandung mengalami sedikit pendarahan pada gusi mereka dan ia biasanya berlaku ketika memberus atau melakukan flos di celah gigi. Gusi bengkak atau gingivitis jika tidak dibiar melarat boleh menyebabkan penyakit gusi kronik atau pun dipanggil periodontal disease yang akhirnya menjejaskan bayi dalam kandungan. Kesannya, ibu mungkin bersalin awal atau bayi tidak cukup berat ketika lahir,” katanya.

Kerana itu, Dr Halina mengingatkan ibu hamil supaya berjumpa doktor gigi jika mengalami sebarang tidak keselesaan terhadap gigi dan gusi sepanjang tempoh kehamilan bagi mendapatkan rundingan rawatan sewajarnya.

Kata Dr Halina, selain pregnancy gingivitis, ibu hamil juga cenderung mengalami pregnancy epulites, yang menyebabkan tumbuh benjolan kecil pada gusi antara celahan gigi.

“Tapi tidak perlu bimbang kerana ia normal dan berlaku kerana perubahan hormon, malah akan kecut selepas bersalin,” katanya.

Kata Dr Halina, selain masalah gusi, kerosakan gigi adalah masalah kedua sering dialami ibu mengandung. Ia biasanya berlaku kerana mulut cenderung berasid dan air liur juga kering. Katanya, wanita mengandung kebanyakannya mengalami mabuk pada waktu pagi (morning sickness) dan ketika muntah, jus gastrik bersifat asid dari perut akan termasuk ke dalam mulut yang akhirnya boleh menghakis permukaan gigi.

“Kaedah terbaik, sentiasa amalkan berkumur dengan air kosong atau menggunakan ubat kumur bagi meneutralkan kembali mulut. Kadangkala, ubat gigi juga boleh menyebabkan loya. Jadi, saya sarankan bakal ibu supaya sentiasa mencuba perisa ubat gigi berbeza sehingga berjumpa yang sesuai dan jika tetap tidak boleh menggunakan sebarang ubat gigi, pilih ubat kumur berflorida,” katanya.

Dr Halina memberitahu, paras hormon yang meningkat sewaktu kehamilan juga boleh menyebabkan tisu pemegang gigi atau ligamen serta tulang rahang sekeliling akar gigi terjejas lantas menyebabkan gigi longgar. Pemakanan juga sering diambil mudah wanita mengandung malah selalunya mereka akan mengidam sesuatu yang manis tanpa langsung menyedari bahawa gula itu musuh ketat kepada gigi.

“Tapi, tiada siapa berani berkata tidak kepada ibu hamil yang mengidam. Nasihat saya, rajin-rajinlah berkumur dan sebolehnya, kurangkan pengambilan makanan bergula kerana di bulan ketiga kehamilan, gigi janin juga sudah terbentuk. Sebaiknya, amalkan memakan makanan kaya sumber kalsium seperti susu, yogurt dan keju. Pil Obimin dibekalkan semasa mengandung juga mengandungi vitamin berserta kalsium, lengkap untuk tumbesaran janin,” katanya.

Jelas Dr Halina, wanita dinasihatkan supaya tidak ambil ringan kesihatan oral dengan melakukan pemeriksaan gigi berkala enam bulan sekali sedari awal iaitu bermula sebelum hamil dan jadikan ia rutin sebelum, semasa juga selepas melahirkan. Katanya, jangkitan pada gusi boleh membahayakan wanita hamil dan bayi dalam kandungan. Masalah 'periodontal disease' boleh menyebabkan komplikasi, termasuk kelahiran pramatang dan bayi lahir kurang berat badan.

“Mengikut kajian, bakteria di dalam mulut ibu boleh berpindah ke dalam mulut janin dan jangan terkejut, apabila dilahirkan kelak, jika ibunya mengalami masalah mulut berbau, anaknya juga berkemungkinan mengalami masalah sama,” jelasnya.

Jadi, teruskan pemeriksaan berkala di klinik gigi anda selepas tempoh berpantang dan jika bayi mencapai usia setahun setengah hingga dua tahun, ia menjadi tanggungjawab ibu juga untuk membawanya menjalani rutin sama seawal usia.

INFO - Punca perubahan keadaan gigi dan gusi ketika hamil
  • Perubahan hormon.
  • Bertambahnya pengaliran darah dalam badan mengakibatkan gusi bengkak, menjadi sensitif dan berdarah.
Ikuti langkah ini:

* Gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari
* Gunakan berus yang lembut dan gosok secara perlahan-lahan dan berhati-hati
* Jika gigi sensitif, gunakan ubat gigi khas untuk gigi sensitif
* Jika gusi berdarah, rawat dengan ketulan ais
* Flos gigi setiap hari. Jika boleh, setiap kali selesai makan
* Kurangkan gula dan makanan manis, termasuk biskut, kek dan minuman soda
* Dapatkan pemeriksaan gigi secara berkala

Jumpa doktor jika:

* Gusi berdarah dengan banyak
* Gusi sangat sakit
* Nafas berbau busuk tidak hilang walaupun selepas memberus gigi
* Gigi longgar
* Ada benjolan atau ketumbuhan dalam mulut
* Gigi terasa sakit

Sumber : Siti Nur Almizan Aripin [snur@bharian.com.my] di BHarian 29/04/2011


19 October 2011

TV tidak sesuai...


Akhbar berita Harian bertarikh 2011/10/19

NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak.
Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya.
Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik. 

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran. - AFP 



17 October 2011

Melaka~ bahagian 2

Ayat sedang mengkaji. Kami jadi pengiring dan pemerhati ;)

Seramik jepun yang dipamerkan.
Amad juga sibuk mengkaji ;)

Peluru daripada besi.
Meja zaman Belanda... Masih ok lagi.

Duit syiling.

Dompet siapa ini?

Akhirnya ayah menemui apa yang dicari. Batu nisan Sultan Mansur Syah.

Ayah sedang memberikan kuliah sejarah ;) Ada kekeliruan tarikh pemerintahan sultan-sultan Melaka. 
Bersambung lagi...

Hanya itu yang kumampu...

"Adik, boleh minta tolong sikit tak?"
Saya segera menoleh. Seorang wanita mungkin berbangsa India atau Kemboja merenung sayu.
"Ya, minta tolong apa?" Saya menepuk-nepuk badan Ahmad. Mata saya memerhati matanya. Tadi saya nampak wanita ini menjenguk dari luar pintu.
"Saya hendak ke Sepang. Saya tidak cukup duit untuk tambang teksi." Wanita itu membalas sambil tangannya sibuk mencabut kasut pada kaki anaknya yang sedang dikelek di pinggang. Kanak-kanak itu berusia 2 tahun saya kira.
Saya serba salah. Situasi ini pernah saya baca atau dengar sebelum ini. Seorang lelaki atau wanita meminta simpati jemaah masjid untuk mencukupkan tambang bas atau teksi.
"Berapa ringgit yang perlu?" Saya menyoal lagi. Saya melunakkan suara agar dia tidak berkecil hati. Dalam pada itu, saya sedang memikirkan, berapa nilai duit yang saya ada. Sebenarnya saya masih ragu-ragu. Samada ada duit atau tidak dalam dompet.
"Tambang 25 ringgit. Saya ada 10 ringgit sahaja, Saya perlukan 15 ringgit." Wanita itu menjawab pantas.
Saya merenung perutnya yang memboyot. Mungkin usia kandungan 7 atau 8 bulan.
Zip bahagian tepi beg saya buka. Beberapa keping RM1 saya ambil. Tidak tahu berapa nilainya. Saya hulurkan kepadanya sambil berkata, "minta maaf. Hanya ini yang saya ada. Minta maaf ye."
Itu duit yang saya ambil dari laci atas meja sebelum keluar rumah tadi. Saya terlupa meminta duit dari suami.
Wanita itu menyambut huluran dari saya lalu mengucapkan terima kasih. Dia berlalu ke muka pintu.
Saya merenung dari tempat duduk sambil berdoa, "Ya Allah, jika dia betul-betul memerlukan, Kau hantarlah seseorang yang dapat membantunya. Jika dia menipu, Kau berilah kesempatan untuk dia bertaubat."

Peristiwa ini berlaku di Masjid Teras Jernang. Sewaktu saya menunggu majlis akad nikah Huda Sakinah.
Di celah-celah kesibukan kami bergambar dan bersembang setelah Huda selamat dinikahkan, seseorang
datang menegur saya.
"Kak Natrah, saya ingin membayar duit claim hari itu. Minta maaf lambat selesaikan."
Alhamdulillah, saya dapat kembali duit yang telah diberi kepada wanita tadi.
Namun, saya masih tidak mampu menjadi seperti Saidina Ali. Yang begitu yakin dengan dermanya. huhu...
InsyaAllah akan dikisahkan nanti.