05 October 2010

Buaian bayi (buaian sarung)

Dipetik dari: BabyCenter Malaysia

Di Malaysia, seperti kebanyakan komuniti Asia Tenggara, sarung yang digunakan untuk bayi tidur adalah buaian kain yang diperbuat daripada fabrik kapas atau batik, tradisional yang dilekatkan pada spring dan digantung di alang siling atau susur tangga. Ia juga dikenali sebagai buaian kain, buaian sarung atau sarung buaian.

Bayi-bayi, dari generasi ke generasi telah tidur di dalam buaian, dan banyak bayi yang lain tidur dibuai dalamnya sebelum dialihkan ke katil, kot atau lantai.

Versi moden hari ini kadang-kala datang dengan kombinasi jaringan kapas untuk menggantikan versi lama yang menggunakan batik. Ibu bapa juga boleh membeli rangka boleh lipat yang mudah dibawa berjalan untuk menggantungkannya. Dahulunya seseorang mesti duduk di sebelah buaian sarung untuk membuainya, tetapi versi moden hari ini datang dengan spring bermotor lengkap dengan pengatur waktu.

Kenapakan buaian sarung begitu popular

Sebagaimana setiap ibu bapa baru telah tahu (atau akan tahu!), bayi suka dibuai untuk cepat tidur. Ramai pakar mengatakan bahawa bayi berasa tenang dengan berbuai sebab ia seakan-akan pergerakan berbuai yang mereka rasakan semasa berada dalam rahim ibu mereka. Oleh itu, tidak ramai bayi yang tidak terlena dengan ritma lembut buaian sarung - secara bukti, letaklah bayi yang letih dalamnya, buaikannya dan hanya bayi yang degil sahaja akan berjaga.

Tambahan pula, apabila bayi diletakkan dalam buaian sarung, beratnya akan menarik fabrik di sekelilingnya, mewujudkan keadaan seakan-akan berada dalam kepompong atau rahim. Oleh itu, selalunya tidak perlu untuk membedung bayi semasa dalam buaian sarung.

Adakah ia selamat?

Persoalan keselamatan telah diajukan beberapa tahun kebelakangan ini, dengan laporan beranekdot jatuh atau kecederaan. Namun begitu, terdapat hanya beberapa kajian mengenai keselamatan buaian sarung tradisional. Satu kajian di Singapura pada tahun 1997 telah mendokumenkan kes kecederaan kepala pada kanak-kanak yang jatuh keluar dari buaian sarung semasa mereka tidur, bermain atau menyusu. Kanak-kanak ini telah dirawat di Jabatan Kemalangan & Kecemasan di Wad Pembedahan Saraf dan Unit Jagaan Khas Pembedahan Saraf. Tiada sebarang kematian dilaporkan tetapi kajian telah merumuskan bahawa terdapat potensi untuk kecederaan yang lebih serius.

Ramai pakar kesihatan dan pakar penjagaan bayi menyarankan supaya tidak menggunakan buaian sarung. Dr Winston Yong, seorang pakar pediatrik di Lembah Klang dan pakar BabyCenter berkata, “Saya sentiasa menasihatkan ibu bapa supaya sangat berhati-hati apabila menggunakan buaian sarung sebab kecederaan boleh berlaku. Selalunya saya menggalakkan supaya bayi tidur di dalam kot.”

Seorang lagi pakar BabyCenter, pendidik antenatal dan Parent Craft, Jennifer Hor, juga menegaskan bahawa tidur di dalam buaian sarung tidak patut digalakkan. “Buaian tidak memberi sokongan yang mencukupi bagi tulang belakang bayi dan bahu bayi selalunya membongkok. Di samping itu, terdapat juga lain-lain aspek keselamatan: Risiko untuk jatuh adalah tinggi dan kadang-kala buaian sarung dibuai dengan terlalu kuat.” Ini akan meningkatkan risiko bayi jatuh keluar atau ditolak ke dinding.

Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK di Singapura telah memberi amaran bahawa membuai buaian sarung terlalu kuat akan membawa kepada pendarahan dalaman otak.

Tetapi penggunaan buaian sarung sangat efektif, bagaimana jika saya masih mahu menggunakannya?

Banyak bukti mengenai bahaya tidur dalam buaian sarung melibatkan buaian sarung tradisional. Hingga kini, tiada kajian objektif atau mendalam mengenai keselamatan variasi buaian sarung moden yang dijual di Internet dan di kedai-kedai bayi yang lebih besar. Ia adalah lebih mahal daripada versi tradisional dan selalunya dipasarkan sebagai buaian bayi atau katil berhayun. Sesetengah daripada mereka mendapatkan pengiktirafan daripada pakar-pakar seperti pakar pediatrik atau guru keibubapaan; sesetengah mengatakan bahawa mereka diiktiraf oleh pelbagai badan atau organisasi keselamatan yang lain. Jika anda mahu membeli versi ini, anda mungkin mahu menulis kepada pengeluar produk tersebut untuk mendapatkan maklumat keselamatan dengan lebih lanjut.

Jika anda mahu membeli buaian sarung tradisional, sila patuhi langkah berjaga-jaga berikut:

• Letakkan tilam gulung atau alas katil yang tegap bawah buaian sarung supaya jika bayi anda jatuh, dia tidak akan terhentak ke lantai.

• Sentiasa letakkan bayi anda di dalam buaian sarung dalam keadaan melentang dan bukan meniarap.

• Laraskan ketinggian rangka atau kepanjangan spring supaya buaian sarung seberapa dekat ke lantai yang boleh.

• Semasa bayi anda membesar, pastikan berat tambahannya tidak menarik buaian sarung jauh ke bawah supaya kepalanya tidak terkena ke lantai apabila dibuai.

• Jangan letakkan sebarang bantal, selimut atau alas katil yang lain dalam buaian sarung.

• Satu lagi tip daripada seorang pui yuet berpengalaman: Jika anda mahu menggantungkan buaian sarung pada rangka boleh lipat, dapatkan rangka empat segi yang yang stabil dan tegap, berbanding dengan yang menggantung buaian sarung pada rangka tiga segi (ini kurang stabil dan lebih mudah terbalik).

Jika saya tidak mahu menggunakan buaian sarung, bagaimanakah saya mahu menangani nasihat orang untuk menidurkan bayi dengan cara itu?

Anda mungkin telah diberitahu oleh pengasuh bayi, rakan-rakan anda dan lebih penting lagi, ibu atau ibu mertua anda yang mereka membesarkan bayi-bayi dengan menidurkan mereka dalam buaian sarung tanpa sebarang masalah. Sesetengah daripada mereka mengatakan bahawa tidur dalam buaian sarung akan membantu pengembangan kepala bayi menjadi bentuk yang bulat sebab dia tidak tidur di atas tilam yang leper.

Fahamlah bahawa anda bukanlah ibu baru yang pertama yang telah nasihatkan tanpa diminta. Memang perkara sukar untuk memenuhi harapan ibu bapa yang lebih berpengalaman, terutamanya jika mereka adalah seorang daripada ahli keluarga besar anda.

Walau bagaimanapun, jika anda yakin akan rasional mengapa anda tidak mahu bayi anda menggunakan buaian sarung, anda juga boleh meyakinkan ahli keluarga anda yang lain tentang pilihan anda. Jangan lupa untuk menjadikan suami anda sebagai sekutu anda. Tunjukkan bahawa ada banyak lagi cara untuk menidurkan bayi anda. Tidur atas lantai, sebagai contoh, masih popular dalam semua komuniti di Malaysia, terutamanya bagi keluarga yang besar.

Apakah cara lain untuk menidurkan bayi saya?

Jennifer Hor, yang juga penulis bersama buku Asian Parenting Today, menggalakkan ibu bapa baru untuk mendapatkan sokongan dan strategi untuk membantu bayi mereka untuk tidur. “Ini termasuklah mengenal pasti tanda-tanda tidur dan pola tidur, membentuk rutin dan ritual tidur dan sentiasa berusaha mengetahui beberapa teknik tidur,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh baca mewujudkan persekitaran tidur yang selamat untuk bayi anda.




Kita hanya hambaNya...

No comments: