Kenapa perlu ditunjuk secara flash atau cepat? Sekarang cuba bayangkan rumah anda. Berapa lama masa diambil untuk imej rumah terbayang di hadapan mata. Ramai yang akan mengatakan sekelip mata sahaja. Ini menunjukkan bahawa otak berfungsi secara cepat iaitu otak adalah mekanisme berkelajuan tinggi. Otak jika diibaratkan seperti komputer dapat menghasilkan semula gambaran rumah kita kerana ia sudah diberi input atau maklumat imej tentang rumah pada suatu masa dulu. Dengan itu, apa yang kita lakukan adalah bersesuaian dengan cara otak kita berfungsi. Lagipun, mata dan telinga hanya berfungsi seperti kamera dan perakam suara.

Bagaimana pula tentang saiz kad dan kualiti gambar? Adakah kerana anak itu masih kecil, mempunyai jari-jari kecil maka saiz kad juga harus kecil? Realitinya, jika gambarnya kecil dan kurang jelas anak yang kecil (contohnya anak yang berusia 6 bulan) tidak akan dapat melihatnya dengan jelas.

Jika gambar menunjukkan burung di atas dahan kayu, anak kecil semuda 6 bulan tidak akan mampu membezakan dahan dan burung. Ia menerima keseluruhan gambar, termasuk dahan sebagai burung. Sudah pasti jika anak ini sudah berumur 3 atau 4 atau 5 tahun, dia sudah dapat membuat perbezaan tersebut.

Kualiti Gambar
Kualiti gambar seharusnya menunjukkan imej sebenar objek yang disampaikan. Jika ianya seekor ayam, seharusnya ayam itu sama ada ilustrasi yang baik atau gambar foto yang sebenarnya. Ramai yang beranggapan bahawa kartun adalah lebih sesuai untuk kanak-kanak. Kartun bukanlah maklumat tepat tentang rupa bentuk ayam. Tetapi untuk anak yang sudah mengenal ayam, gambar kartun akan membina kreativiti anak.

Bagaimana pula dengan flashcard yang mempunyai gambar serta perkataannya sekali? Tidakkah ini menjimatkan masa dan tenaga kita mengajar dua perkara sekali gus? Seperti yang disebutkan sebelum ini anak hanya akan fokus pada satu benda pada satu masa serta kepada yang menarik sahaja.

Besar kemungkinan anak akan memberi tumpuan kepada gambar dan bukan perkataan. Lagipun, saiz perkataan mungkin terlalu kecil untuk sistem penglihatan anak yang masih belum matang.( Untuk memahami kepentingan saiz perkataan untuk anak belajar membaca , tunggukan artikel tentang bacaan di siri-siri akan datang.)

Apa yang berlaku dengan membekalkan maklumat melalui kad imbasan atau flashcard adalah sistem penglihatan dan pendengarannya akan dikembangkan malah kedua-dua otak kiri dan kanannya akan dibangunkan. Tidakkah dengan memberi terlampau banyak rangsangan kepada anak, otaknya akan “rosak” atau “terbakar’ atau mengalami “overstimulation”seperti yang didakwa sesetengah pihak? Tidakkah kita takut bahawa anak tidak dapat menikmati zaman kanak-kanaknya jika dia disogokkan dengan maklumat melalui flashcard sedangkan peringkat usianya (4 hingga 6 tahun) adalah peringkat bermain. Pada siri akan datang saya akan cuba mengupas persoalan ini dan berkongsi keseronokan mengajar anak dengan menggunakan flashcard atau kad imbasan.