22 October 2010

Cerpan: HOME ALONE ~part 2

**Cerpan: Home Alone bahagian 1 boleh dibaca di sini.  Ikuti sambungannya...

Daniel semakin cemas. Orang itu masih tidak berganjak dari depan rumahnya. Mundar-mandir. Mungkin sedang memikirkan lokasi untuk meletakkan kotak berisi bom itu. Lokasi yang sesuai supaya rumah itu hancur lebur.
Nyawa Daniel dalam bahaya!

*****bersambung*****


Dia perlu bertindak. Nyawanya dalam bahaya. Rumah itu bakal diletupkan.

“Telefon mama jika ada apa-apa berlaku ya.”

Itu pesanan ibunya sebelum keluar tadi. Dia tidak lupa. Tapi ibunya lupa. Ya, Daniel tiada telefon bimbit. Rumah itu tiada telefon talian tetap. Telah dipotong dua minggu lepas. 

Daniel bingung. Apa perlu dibuat? Dia berlari ke dapur. Mencari senjata. Atau apa-apa sahaja yang boleh menghalau lelaki itu. Menyelamatkan rumah dan nyawanya.

Jangan main pisau.

Jangan main api.

Oh, pesanan ibu perlu dipatuhi. Dia perlu bertindak tanpa mencederakan sesiapa. Hati ibunya juga. Dia berlari ke tingkat atas. Mahu menjenguk dari biliknya. Kedudukan lelaki itu. Apa senjata yang dibawanya. 

Sewaktu melintasi bilik stor, dia terfikir. Mungkin ada sesuatu yang boleh dijadikan senjata. Pintu bilik stor dibuka. Gelap. Suis tepi pintu dipetik dengan menjinjing sedikit badannya yang masih kecil itu. Pelbagai barang antik, kotak-kotak kosong, peralatan yang sudah hidup segan mati tidak mahu memenuhi ruang sempit itu. Matanya melilau. 

Salur paip getah.

Dia menarik keluar salur getah yang bergulung kemas itu. mendaki tangga dengan susah payah. Beberapa titis air yang masih berbaki dalam salur itu membasahi karpet di atas tangga. Ke tingkat atas. Masuk ke bilik air dan menyambung salur getah ke paip air. Membuka pintu yang menghubungkan bilik air dan biliknya. Menarik salur itu keluar, menghala ke tingkap.

Daniel melompat ke atas katil. Air dari salur getah sudah membasahi katil bujangnya. Dia mengintai kedudukan lelaki bertopi itu melalui tingkap biliknya. 

Lelaki itu sedang berbual di telefon bimbit. Membelakangi rumah itu. Mungkin sedang menerima arahan dari bosnya. Kotak yang dibawanya diletakkan di tepi pagar. Daniel berkira-kira. 

Lelaki bertopi atau kotak berwarna coklat?

Daniel menarik salur getah itu sehingga ke tingkap biliknya. Ya, sampai.  Air memancut ke arah lelaki itu. Belum sempat dia mengelak, bajunya telah basah. Membasahi seluarnya, hingga ke kasut. Lelaki itu menggawang-gawang tangannya ke arah Daniel. 

“Jangan,” Jeritnya dengan kuat. 

Daniel terus menghala muncung salur getah ke arah lelaki itu walaupun pelbagai gaya dilakukannya untuk mengelak. 

“Adik, jangan sembur. Abang nak hant...”

Tapi air paip menerjah mulutnya. Gagal menyambung ayat. Dia bersembunyi di sebalik pagar batu. Daniel tersenyum. Lelaki itu penakut. Dengan hanya terjahan air pun takut.

Daniel menghalakan salur getah itu ke arah kotak sebesar kotak kasut itu pula. Dia yakin. Bom dalam kotak itu akan rosak jika terkena air. Kotak itu basah kuyup. Namun Daniel tidak berpuas hati. Air terus menyembur ke kotak itu. Ruang matanya membayangkan wajah Hasif yang penuh dendam.

Tiba-tiba menderu bunyi enjin kereta. Kereta Avanza milik ibunya berhenti di hadapan pagar. 

Alhamdulillah.

Bisik hati Daniel. Ibunya sudah pulang. 

Dia berlari turun ke tingkat bawah. Mahu melaporkan kepada ibunya tentang kejadian sebenar. Pasti ibunya bangga dengannya. Juga mahu mengingatkan ibunya nombor talian kecemasan. 999.

 “Daniel!!!”Jeritan nyaring dari ibunya. Dari muka pintu rumah itu.

Seorang lelaki yang basah kuyup berdiri di sisi ibunya. 

Kotak yang telah basah itu dipegang ibunya. 

Mulut Daniel ternganga. Tercegat di hujung tangga. Memerhatikan wajah ibunya yang berulang kali memohon maaf dari lelaki kurus bertopi itu.

Lelaki dari Syarikat Pos Laju National Courier itu melangkah meninggalkan rumah Daniel. Meninggalkan kotak berisi ikan masin yang ditempah ibu Daniel. Dan juga Daniel yang sudah terjelepok di tangga.

Tiada lagi bayangan wajah penuh dendam Hasif. Hanya wajah menyinga ibunya.

*****TAMAT*****

p/s 1: jangan tinggalkan anak anda sendirian.
p/s 2: Daniel: Nama anak saudara saya yang tersayang. Hasif: Nama budak comel tepi rumah lama.

No comments: