27 October 2010

Sarapan Umpama Raja

Salam pagi Rabu buat semua. Semoga kesejahteraan milik kita semua.
Alhamdullillah.... marilah kita mulakan hari kita dengan syukur dan pujian kepada Allah.
Di sini saya titipkan doa pagi.
Jom amalkan

 doa pagi


Alhamdulillah...
Mulakan pagi anda dengan sarapan yang sihat lagi menyihatkan. Bagi saya, secawan kopi Radix HPA dan dua keping roti wholegrain fibremeal sudah cukup. Mungkin akan goreng nasi sekejap lagi. Itu niat di hati, moga berjaya. Keadaan sebagai suri rumah yang menyusukan anak kecil memerlukan makanan dalam kuantiti tinggi. Anda bagaimana? Jika anda pekerja yang perlu keluar awal-awal pagi dan menggunakan tenaga yang banyak, eloklah perbanyakkan lagi jumlah hidangan untuk sarapan itu.

Bak kata Chef Sabri, bersarapanlah umpama seorang raja. Maksudnya, makan sebanyak-banyaknya. Tapi kalau makan benda tidak berkhasiat atau tinggi kandungan lemak, garam dan gula, tidak ada gunanya juga. Malah menambahkan lagi beban di masa depan.
Maksud saya, sarapan itu perlu mempunyai kandungan karbohidrat kerana yang tinggi contohnya nasi atau roti. Ini kerana, selama lebih kurang 10 jam (jika makan kali terakhir jam 10 malam) perut kita berpuasa. 

Biasanya, apabila bangun pagi, sebelum solat subuh, saya minum segelas air masak dan beberapa biji kismis. Sebab stok kurma sudah habis. Kurma adalah makanan terbaik yang perlu menerjah perut kita sebelum makanan-makanan lain mengambil tempat, kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi. Bagus untuk penghadaman. Lagipun perut yang kosong perlu diisi dengan makanan manis dahulu.

Kemudian eloklah ditambah dengan buah-buah lain, tapi jangan buah yang masam seperti oren kerana ia menyebabkan sakit perut. Yelah, perut kosong mengandungi asid, kita tambah lagi kandungan asidnya, lagi la suka bakteria dalam perut bekerja.  

Mama saya begitu mengambil berat perihal sarapan ini. Setiap pagi kami dipaksa makan dengan banyaknya. Menu pagi kami selalunya nasi goreng, bihun, mi, nasi lemak dan nasi kerabu. Menu tambahan yang selalu mengiringi menu ini setiap pagi adalah cekodok atau pisang goreng.   

Mama saya selalu mengingatkan kami agar bersarapan sehingga kenyang di rumah sebelum keluar ke mana-mana seperti sekolah atau berjalan-jalan. Rutin beliau setiap pagi adalah bangun seawal pagi. mengerjakan ibadat sunat sebelum subuh, kemudian selepas solat subuh, beliau sibuk bertukang di dapur (masak la tu). 

Itulah yang dilakukan sejak dulu, sehingga anak-anaknya mencecah usia dewasa. Sampaikan anaknya yang seorang ini tidak mahir memasak untuk sarapan. Ye lah, setiap pagi, buka mata, sarapan sudah disediakan.
 
Ok, selamat bersarapan dan berbahagia...

No comments: