06 December 2011

Masjid Besi, PICC dan I-City

Alhamdulillah, adik saya yang ke 2 bongsu dah bergraduasi pada sabtu lepas.
Di PICC.
Rombongan dari Kuala Krai datang ke rumah kami.
Sambil melawat pak cik di Bandar Seri Putra yang agak kurang sihat.
Tengahari sabtu, kami berjalan-jalan melawat Masjid Tuanku Mizan atau dikenali sebagai Masjid Besi.
Sangat besar.
Antara ahli rombongan ;)

Masjid ni dirasmikan pada 11 Jun 2010. 2 hari selepas kelahiran Ahmad.

Ruang solat di bahagian atas. Tapi katanya, boleh solat di mana-mana pun sebab ada terlalu banyak ruang.

Mereka nak sangat bergambar di taman ni. Taman ni searas dengan dewan solat utama.

Selepas solat zohor di masjid Putra, kami bergegas ke PICC. Adik saya, Salmi sudah masuk ke dewan. Mama saya dan Bazilah, anak saudara saya masuk untuk menyaksikan upacara konvo.  

Jam 5 petang, majlis selesai. Kami sudah kepenatan menunggu.

Udo dan 2 anak saudara yang 'comel'.
Selepas itu, kami ke Puchong. Rumah besan Mama. Mama kepada kakak ipar. Makan rambutan dan hidangan gulai yang enak. Selepas maghrib, kami bergerak ke Shah Alam. I-City sasaran kami.
Tapi jalannya macet bangat sih. Ramai berpusu-pusu ke sana. Tempat parking pun hampir penuh.
Salmi bersemangat untuk bergambar. Siap bawa bunga dan jubah konvo lagi.

Rombongan kami. Ahmad baru bangun tidur. 

Ini juga ahli rombongan. Diangkut dari Puchong.
Mama kami tidur dalam kereta. Tidak larat melayan orang-orang muda yang suka berjalan.
Ahli rombongan yang lain teruja menaiki roller coaster. Maka beraturlah mereka berjam-jam untuk membeli tiket dan menunggu giliran.
Saya, suami dan Ahmad berjalan-jalan ke kawasan sekitar. Sebelum ini, hanya tengok gambar dan mendengar cerita sahaja. Kami ke tapak KFC Chicky Carnival. Orang sangat ramai.
Akhirnya kami melepak di tepi booth-booth mereka. Sempat bersembang dengan seorang mak cik yang juga kepenatan berjalan-jalan di situ. Rupanya, dia jiran kepada keluarga kakak ipar yang kami singgah di Puchong tadi ;)
Antara haiwan yang dipamer di KFC Chicky Carnival.
Kami kembali ke tempat roller coaster. Mereka masih beratur menunggu giliran. Adoiii.
Kami sangat penat. Tapi layankan sahaja kanak-kanak riang itu.
Sebenarnya kami juga menunggu abang dan keluarganya dari Klang. Jalan untuk masuk sesak teruk.
Hampir jam 11 malam mereka sampai. Tapi sebenarnya mereka sudah biasa datang ke sini.
Ahmad yang sangat teruja dengan sekitarnya. Kami biarkan dia bebas di kalangan orang ramai.
Kami bertolak balik hampir jam 12 malam. Mama dan rombongan dari Kelantan ke rumah abang di Klang.
"Ok lah tu. Kita dah ke I-City. Orang lain tak boleh kelentong kita lepas ni." Suami menyimpulkan hasil lawatan ke I-City ;)


30 November 2011

Banjir

Minggu lepas, seminggu saya berada di kampung. Kakak saya kahwin. Alhamdulillah, selesai...
21hb majlis kenduri dalam hujan renyai-renyai.
22hb kami bertungkus lumus membasuh dan mengemas dalam hujan lebat.
23hb kami keluar ke bandar Kuala Krai. Menyelesaikan urusan tanah. Mama saya sakit kaki, ke klinik juga untuk rawatan kakinya.
Kami balik ke rumah hampir jam 3 petang. Sampai di Bukit Arang, air dah naik. Kenderaan tak boleh lalu. 
Selepas solat Zohor di surau berdekatan, kami menelefon jiran yang ada lori untuk datang angkut kami.


Ok, jom layan gambar...
Air sampai paras paha. Tapi ada yang berani mengharung.

Sementara tunggu lori sampai, kami main air. Ahmad terpaksa dipakaikan tuala di kepala, tapi tak lekat juga. ;)

Bersama adik bongsu. Masih bujang. Masih belum konvo. Tapi dah kerja.

Ini sungainya. Memang tempat ni banjir setiap tahun. Longkang pun dah buat, tapi macam tak boleh tampung juga.

Ahmad dan Udo. Main banjir tak ingat dunia akhirat.

Geng penonton air banjir. 2 anak muda ini ingin mengharung air dengan motor mereka.

Akhirnya berjaya mengharung dengan enjin dihidupkan. Sampai seberang sana, motor masih hidup.

Ahmad sebenarnya mencuba kasut baru. Baru je beli di Kuala Krai tadi.

Ada yang ambil kesempatan basuh motor.

Air yang bakal kami harung. Gerun juga. Sebenarnya paras air semakin meningkat. 

Pok Su Din. Datang jemput saya pula. Dia dah berjaya hantar mama kami menyeberang ke sebelah sana.

Saya di tengah-tengah kawasan banjir. Maksud saya, tengah kawasan dinaiki air.

Paras air.

Ahmad dah selamat menyeberang dengan abang ipar saya. Muka mengantuk dan penat.

Motor seorang pak cik yang rosak akibat mengharung air. Seorang anak muda sedang betulkan.

Kami naik lori berpagar. Masa ni hujan lebat. Ada 1 keluarga dan 2,3 orang lain yang tumpang lori ni.  Yang tudung kuning tu K Long saya ok. ;)




13 November 2011

Khutbah Terakhir

Khutbah terakhir Rasulullah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah
Tahun 10 Hijriyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teltii kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

10 November 2011

Ahmad dah pandai II

Alhamdulillah... Hari ke hari Ahmad semakin pandai.
10/11/2011
Ahmad angkat dan terbalikkan semua sofa dan sambil sebut "uh, uh."
Adoiii!!


Sebenarnya banyak perkembangan Ahmad yang sangat berguna untuk kami semua dan bakal menjadi berguna untuk bangsa dan agama ;)

Apabila dengar azan, Ahmad cepat-cepat hampar sejadah kecik hijau dia. Angkat takbir "Allahuakbar"
Kemudian terus sujud. Gaya sujudnya -->berbaring meniarap, tapak tangan atas sejadah, sebelah pipi letak atas sejadah, sebelah kaki digoyang-goyang. Kemudian Ahmad bangun. Siap. Azan belum habis, dia dah siap solat.
Jika rajin, diulang-ulang 2, 3 kali gaya yang sama.

Tetapi, kadang-kadang Ahmad tunggu azan selesai dulu. Sambil mengikut suara azan tersebut. Kemudian ikut mama solat. Mama baru nak rukuk, Ahmad dah selesai solat.
Mama bagi salam, Ahmad cepat-cepat ambil Quran mama di rak. Hulurkan kepada mama. Sebelum ni waktu lepas solat Maghrib sahaja Ahmad hulur, tetapi sekarang ni, waktu lain pun hulur juga. "Terima kasih Ahmad, ingatkan mama baca Quran."  T_T
Sebenarnya 2,3 minggu sebelum ni Ahmad memang selalu ambil Quran dari rak. Belek-belek sambil menunggu kami selesai solat. Akibat terlalu lama menunggu, Ahmad berdiri atas Quran tersebut. Kami bertindak mengalihkan kedudukan Quran ke tempat tinggi.
Suatu hari suami berkata, "rupanya Ahmad bukan nak main Quran, tapi nak bagi supaya kita baca."
Insaf. huhu.. Terima kasih anakku..
Ahmad dah tahu, warna purple mama punya, warna hijau papa punya.

Selepas baca, Ahmad tolong simpan kat rak. Ahmad dengan rela hati juga tolong lipat sejadah. Terutama sejadah papa. Sejadah Ahmad, memang Ahmad lipat dan simpan sendiri.


29 October 2011

Ahmad dah pandai

Ahmad dah pandai. Serta rajin. Alhamdulillah...
Jika mama jemur kain, Ahmad akan tolong hulurkan kain dari bakul. Sehelai demi sehelai. Terutama baju-bajunya. Mama ucapkan, "Terima kasih Ahmad. Sangat rajin anak mama ini."
Kemudian Ahmad angkat bakul kosong, letakkan di tepi bilik air.

Jika mama hendak hidangkan makanan, Ahmad cepat-cepat ambil kertas surat khabar, hamparkan atas lantai. Dan bersila menunggu makanan dihidangkan depan dia. Mama cakap, "Pandai dan cepat bertindak."

Jika Ahmad sedang menyusu, mama membelek-belek jari-jari Ahmad, "kuku Ahmad ni panjang, kena potong ni."
Ahmad cepat-cepat berhenti menyusu, bangun dan mencapai penyepit kuku di atas rak. Hulurkan kepada mama sambil menyua jari-jari untuk dipotong kukunya. Mama kata, "Alhamdulillah, Ahmad faham apa mama cakap."

Jika Ahmad menunggu mama yang sedang masak di sebalik pagar besi, Ahmad main cak-cak dengan mama. Tapi bila dah lama sangat, Ahmad pun agak bosan, menangis. Mama dukung Ahmad sekejap, tunjukkan apa mama sedang buat di dapur, bagi Ahmad pegang sudip atau senduk sekejap, tolong kacaukan, kemudian Ahmad kembali menunggu di sebalik pagar. Ahmad faham mama sedang masak. "Terima kasih kerana tolong mama."

Jika mama siap mengeringkan kain, Ahmad sedia menunggu untuk membawa bakul atau baldi ke tempat jemur. Walaupun hanya beraksi mengangkat sahaja, tapi itu sangat menolong mama. hehe.

Jika mama siap melipat pakaian, Ahmad sedia membawanya masuk ke bilik, meletak di rak mama atau ke dalam bakul Ahmad. hehe... Ahmad angkat sehelai demi sehelai. Walaupun kadang kala apabila sampai ke rak pakaian itu sudah tidak berlipat lagi. "Thanks anyway."

Banyak perkembangan Ahmad hari demi hari. Itu yang dilaporkan apabila papa balik dari kerja. Bahagia melihat dia membesar depan mata. Semoga Ahmad terus berkembang dengan baik dan sudi menolong mama bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Amin...






24 October 2011

Sakit gigi ketika hamil


WANITA hamil perlu membuat pemeriksaan gigi berkala.

Masalah ibu boleh jejaskan kandungan

IBU hamil dilarang mencabut gigi. Sama ada ia hanya satu mitos atau pun kenyataan, yang pasti, ia adalah ‘kepercayaan’ yang sudah tersebar dari mulut ke mulut sejak dulu lagi.

Kenyataannya, walaupun seorang wanita itu sedang hamil, mereka boleh menjalani rutin pemeriksaan berkala dan rawatan gigi, namun pastikan ia tidak membabitkan prosedur agresif.
Pakar pergigian Klinik Pergigian Halina, Dr Halina Haron, berkata bakal ibu dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang rawatan seperti cabutan membabitkan suntikan pelalian terutama pada tiga bulan terawal dan tiga bulan terakhir kehamilan.

“Trimester pertama dan ketiga adalah waktu penting kehamilan, yang mana janin sedang berkembang. Justeru, sebarang rawatan membabitkan suntikan yang terus masuk ke dalam darah perlu dielakkan begitu juga dengan pengambilan ubat antibiotik, tahan sakit serta imbasan X.”

“Bagaimanapun, jangan salah faham sehingga tidak bertemu doktor walaupun mengalami masalah gigi serius kerana mencuci plak atau tampalan boleh dilakukan seperti biasa. Malah, jika masalah gigi serius sehingga perlukan suntikan, dos rendah akan digunakan,” katanya.

Ketika hamil, gusi juga mudah bengkak dan mendapat jangkitan berpunca daripada perubahan hormon yang menyebabkan bertambahnya pengaliran darah di dalam badan.

“Kebiasaannya, ibu mengandung mengalami sedikit pendarahan pada gusi mereka dan ia biasanya berlaku ketika memberus atau melakukan flos di celah gigi. Gusi bengkak atau gingivitis jika tidak dibiar melarat boleh menyebabkan penyakit gusi kronik atau pun dipanggil periodontal disease yang akhirnya menjejaskan bayi dalam kandungan. Kesannya, ibu mungkin bersalin awal atau bayi tidak cukup berat ketika lahir,” katanya.

Kerana itu, Dr Halina mengingatkan ibu hamil supaya berjumpa doktor gigi jika mengalami sebarang tidak keselesaan terhadap gigi dan gusi sepanjang tempoh kehamilan bagi mendapatkan rundingan rawatan sewajarnya.

Kata Dr Halina, selain pregnancy gingivitis, ibu hamil juga cenderung mengalami pregnancy epulites, yang menyebabkan tumbuh benjolan kecil pada gusi antara celahan gigi.

“Tapi tidak perlu bimbang kerana ia normal dan berlaku kerana perubahan hormon, malah akan kecut selepas bersalin,” katanya.

Kata Dr Halina, selain masalah gusi, kerosakan gigi adalah masalah kedua sering dialami ibu mengandung. Ia biasanya berlaku kerana mulut cenderung berasid dan air liur juga kering. Katanya, wanita mengandung kebanyakannya mengalami mabuk pada waktu pagi (morning sickness) dan ketika muntah, jus gastrik bersifat asid dari perut akan termasuk ke dalam mulut yang akhirnya boleh menghakis permukaan gigi.

“Kaedah terbaik, sentiasa amalkan berkumur dengan air kosong atau menggunakan ubat kumur bagi meneutralkan kembali mulut. Kadangkala, ubat gigi juga boleh menyebabkan loya. Jadi, saya sarankan bakal ibu supaya sentiasa mencuba perisa ubat gigi berbeza sehingga berjumpa yang sesuai dan jika tetap tidak boleh menggunakan sebarang ubat gigi, pilih ubat kumur berflorida,” katanya.

Dr Halina memberitahu, paras hormon yang meningkat sewaktu kehamilan juga boleh menyebabkan tisu pemegang gigi atau ligamen serta tulang rahang sekeliling akar gigi terjejas lantas menyebabkan gigi longgar. Pemakanan juga sering diambil mudah wanita mengandung malah selalunya mereka akan mengidam sesuatu yang manis tanpa langsung menyedari bahawa gula itu musuh ketat kepada gigi.

“Tapi, tiada siapa berani berkata tidak kepada ibu hamil yang mengidam. Nasihat saya, rajin-rajinlah berkumur dan sebolehnya, kurangkan pengambilan makanan bergula kerana di bulan ketiga kehamilan, gigi janin juga sudah terbentuk. Sebaiknya, amalkan memakan makanan kaya sumber kalsium seperti susu, yogurt dan keju. Pil Obimin dibekalkan semasa mengandung juga mengandungi vitamin berserta kalsium, lengkap untuk tumbesaran janin,” katanya.

Jelas Dr Halina, wanita dinasihatkan supaya tidak ambil ringan kesihatan oral dengan melakukan pemeriksaan gigi berkala enam bulan sekali sedari awal iaitu bermula sebelum hamil dan jadikan ia rutin sebelum, semasa juga selepas melahirkan. Katanya, jangkitan pada gusi boleh membahayakan wanita hamil dan bayi dalam kandungan. Masalah 'periodontal disease' boleh menyebabkan komplikasi, termasuk kelahiran pramatang dan bayi lahir kurang berat badan.

“Mengikut kajian, bakteria di dalam mulut ibu boleh berpindah ke dalam mulut janin dan jangan terkejut, apabila dilahirkan kelak, jika ibunya mengalami masalah mulut berbau, anaknya juga berkemungkinan mengalami masalah sama,” jelasnya.

Jadi, teruskan pemeriksaan berkala di klinik gigi anda selepas tempoh berpantang dan jika bayi mencapai usia setahun setengah hingga dua tahun, ia menjadi tanggungjawab ibu juga untuk membawanya menjalani rutin sama seawal usia.

INFO - Punca perubahan keadaan gigi dan gusi ketika hamil
  • Perubahan hormon.
  • Bertambahnya pengaliran darah dalam badan mengakibatkan gusi bengkak, menjadi sensitif dan berdarah.
Ikuti langkah ini:

* Gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari
* Gunakan berus yang lembut dan gosok secara perlahan-lahan dan berhati-hati
* Jika gigi sensitif, gunakan ubat gigi khas untuk gigi sensitif
* Jika gusi berdarah, rawat dengan ketulan ais
* Flos gigi setiap hari. Jika boleh, setiap kali selesai makan
* Kurangkan gula dan makanan manis, termasuk biskut, kek dan minuman soda
* Dapatkan pemeriksaan gigi secara berkala

Jumpa doktor jika:

* Gusi berdarah dengan banyak
* Gusi sangat sakit
* Nafas berbau busuk tidak hilang walaupun selepas memberus gigi
* Gigi longgar
* Ada benjolan atau ketumbuhan dalam mulut
* Gigi terasa sakit

Sumber : Siti Nur Almizan Aripin [snur@bharian.com.my] di BHarian 29/04/2011


19 October 2011

TV tidak sesuai...


Akhbar berita Harian bertarikh 2011/10/19

NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak.
Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya.
Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik. 

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran. - AFP 



17 October 2011

Melaka~ bahagian 2

Ayat sedang mengkaji. Kami jadi pengiring dan pemerhati ;)

Seramik jepun yang dipamerkan.
Amad juga sibuk mengkaji ;)

Peluru daripada besi.
Meja zaman Belanda... Masih ok lagi.

Duit syiling.

Dompet siapa ini?

Akhirnya ayah menemui apa yang dicari. Batu nisan Sultan Mansur Syah.

Ayah sedang memberikan kuliah sejarah ;) Ada kekeliruan tarikh pemerintahan sultan-sultan Melaka. 
Bersambung lagi...

Hanya itu yang kumampu...

"Adik, boleh minta tolong sikit tak?"
Saya segera menoleh. Seorang wanita mungkin berbangsa India atau Kemboja merenung sayu.
"Ya, minta tolong apa?" Saya menepuk-nepuk badan Ahmad. Mata saya memerhati matanya. Tadi saya nampak wanita ini menjenguk dari luar pintu.
"Saya hendak ke Sepang. Saya tidak cukup duit untuk tambang teksi." Wanita itu membalas sambil tangannya sibuk mencabut kasut pada kaki anaknya yang sedang dikelek di pinggang. Kanak-kanak itu berusia 2 tahun saya kira.
Saya serba salah. Situasi ini pernah saya baca atau dengar sebelum ini. Seorang lelaki atau wanita meminta simpati jemaah masjid untuk mencukupkan tambang bas atau teksi.
"Berapa ringgit yang perlu?" Saya menyoal lagi. Saya melunakkan suara agar dia tidak berkecil hati. Dalam pada itu, saya sedang memikirkan, berapa nilai duit yang saya ada. Sebenarnya saya masih ragu-ragu. Samada ada duit atau tidak dalam dompet.
"Tambang 25 ringgit. Saya ada 10 ringgit sahaja, Saya perlukan 15 ringgit." Wanita itu menjawab pantas.
Saya merenung perutnya yang memboyot. Mungkin usia kandungan 7 atau 8 bulan.
Zip bahagian tepi beg saya buka. Beberapa keping RM1 saya ambil. Tidak tahu berapa nilainya. Saya hulurkan kepadanya sambil berkata, "minta maaf. Hanya ini yang saya ada. Minta maaf ye."
Itu duit yang saya ambil dari laci atas meja sebelum keluar rumah tadi. Saya terlupa meminta duit dari suami.
Wanita itu menyambut huluran dari saya lalu mengucapkan terima kasih. Dia berlalu ke muka pintu.
Saya merenung dari tempat duduk sambil berdoa, "Ya Allah, jika dia betul-betul memerlukan, Kau hantarlah seseorang yang dapat membantunya. Jika dia menipu, Kau berilah kesempatan untuk dia bertaubat."

Peristiwa ini berlaku di Masjid Teras Jernang. Sewaktu saya menunggu majlis akad nikah Huda Sakinah.
Di celah-celah kesibukan kami bergambar dan bersembang setelah Huda selamat dinikahkan, seseorang
datang menegur saya.
"Kak Natrah, saya ingin membayar duit claim hari itu. Minta maaf lambat selesaikan."
Alhamdulillah, saya dapat kembali duit yang telah diberi kepada wanita tadi.
Namun, saya masih tidak mampu menjadi seperti Saidina Ali. Yang begitu yakin dengan dermanya. huhu...
InsyaAllah akan dikisahkan nanti.

Melaka ~bahagian 1

16 Oktober. Kami peruntukkan sehari untuk menghantar ayahanda dan bonda ke Melaka. Ayah ada seminar yang perlu dihadiri. Ayah sampai di LCCT jam 9.15 pagi, tapi kami jemput jam 10 pagi. Hehe... Sesat. Kemudian ke Nilai, jumpa Mak Cik Mursyida. Jom pi Melaka Mak cik. Jom.

Jom layan gambar.
Tiba di Ayer Keroh jam 12.45 tengahari. Lepak-lepak sat.

Gambar  diambil dari dalam kereta.

Bersedia memulakan lawatan

Tadaa... Kami melawat Muzium Sejarah, Ethnografi dan Sastera. Ayah ada sedikit maklumat perlu dicari.

Tiket. RM5 sahaja. 

Oktober. Bulan Bahasa Kebangsaan.
Ahmad dan papa juga mengkaji sejarah ;)

Bersambung...