30 March 2011

Karipap karipap cinta


Novel ini saya beli ketika sesi lawatan ke Syabab, PKNS Bangi. Masa itu, hendak membeli buku lain, tapi sempat juga sambar novel ini. Sebab pernah baca previu dalam blog sapa ntah. K Suri kot. Kemudian terjumpa pula artikel yang menyatakan novel ini akan diadaptasikan jadi filem. Mesti best kan?

Ini adalah karipap

Owh, saya suka novel ini. Bahasanya santai, ada unsur suspen, kadang-kadang tidak logik dan yang penting kelakar. Watak Sarah (heroin) boleh terbayang-bayang di mata saya. Saya membayangkan orangnya seperti gambar pada kulit depan la. Haha...

Ditulis oleh Nazri M. Anuar. Heronya nama Ali. Seorang jurugambar sebuah syarikat penerbitan yang meminati Sarah. Ali berusaha memikat Sarah sehingga terpaksa menipu pernah belajar di Mesir. Mahasiswa al-Azhar Universiti. Penipuan ini membawa kepada beberapa peristiwa lucu bagi menutup kisah penipuannya. Moral of  the story, setiap orang ada karakter tersendiri, memerlukan teman hidup yang dapat melengkapkan kekurangan diri, Jadi, terimalah diri seadanya dan carilah pasangan yang bukan sahaja membahagiakan kita di dunia, tetapi dapat membimbing kita ke negeri yang kekal abadi.

Ok, itu sahaja komen saya pasal novel ini. Hendak tahu lebih lanjut, dapatkan sendiri. Haha..

Dengar cerita, ia bakal difilemkan. Namun, saya agak kurang senang jika cerita novel itu difilemkan, didramakan atau dijadikan dalam bentuk lakonan. Entah kenapa, watak pelakon itu mesti tidak kena di mata dan hati saya. Saya pernah menyaksikan drama yang diadaptasi dari novel. Watak hero, heroin dan watak-watak lain macam tidak menepati ciri dan personaliti dalam novel.
Yelah, yelah, siapalah saya. Kalau bagi watak itu pada saya, HANCUR!


29 March 2011

Rezeki paku- berkatkah?

Pagi ini, En Suami ke tempat kerja menaiki kereta. Seawal 6.30 pagi sudah siap memanaskan kereta. Sebabnya? Motor kesayangan beliau bocor tayarnya. Ia berlaku sewaktu pulang dari tempat kerja petang semalam. Pada malamnya, ada kelas DS yang perlu dihadiri. Tidak sempat untuk menukar tiub tayar yang bocor itu.
Rasanya sudah lebih 5 kali tayar motor beliau bocor sejak kami berkahwin. Sebelum berkahwin, saya tidak tahu. ;)
Saya sangat marah apabila beliau balik dan beritahu,
"Tayar motor bocor."
Saya tahu, ia berlaku secara terancang.
Pernah sekali, telefon bimbit En Suami kehabisan bateri. Beliau menelefon saya melalui telefon pejabat sebelum bertolak pulang. Lebih kurang jam 6 petang. Saya jangkakan 45 minit, beliau sampai ke rumah. Namun, selepas Isyak baru beliau muncul. Hati saya sudah tidak keruan. Maklumlah, waktu itu saya sedang sarat mengandung.
"Tayar motor abang bocor berhampiran Tol Sg Besi. Nasib baik ada seorang mekanik yang lalu, kebetulan mekanik itu hendak mengambil bayaran dari seorang penunggang yang telah dibaiki tayar motornya semalam."
"Apa puncanya?" Soal saya dengan hati yang menggerutu.
"Owh, ada paku melekat pada tayar. Ada juga motor lain yang bocor. Mekanik itu kata, memang di situ, ada orang tabur paku."
"Mekanik itulah yang menaburkannya. Selepas itu, berpura-pura lalu jalan itu, kemudian tolong baiki, ambil bayaran mahal-mahal." Saya membalas.
En Suami hanya diam. Malas menambahkan api kemarahan saya.
-
-
Perkara ini sudah diketahui umum. Kebanyakan orang mengiakannya. Laluan motorsikal di lebuh raya adalah tumpuan utama mereka yang mencari rezeki secara mudah ini. Tetapi tidak halal. Mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Berkatkah?    




Aktiviti Semasa Menyusu

Saya adalah suri rumah. Juga membuat beberapa kerja part time. Namun, kebanyakan masa berada di rumah. Melayan si kecil. Si kecil saya sudah berusia 9 bulan.
Erm, setakat ini, saya masih menyusu badan sepenuhnya. Masih belum berikan solid food. Alasannya? Saya memberikan pelbagai alasan berbeza mengikut tahap pemikiran, umur dan keadaan si penanya. heheh.

Disebabkan saya direct BF, so, banyaklah masa saya bersama si kecil. Antara aktiviti dilakukan semasa si kecil menyusu:
1. Membaca doa-doa dan surah-surah pendek
Biasanya saya membaca doa makan dan doa tidur. Kemudian bacakan al_Fatihah dan ayat-ayat surah 3 Qul. Erm, itupun kalau teringat. Maklumlah manusia. Unsur-unsur lupa dan godaan syaitan selalu mengiringi. Sambil-sambil itu, saya mengusap-usap kepala Ahmad.

2. Melayari internet
Saya akan duduk di meja kerja dan membuka laman-laman web, berfacebook, berym dengan kawan-kawan. Gunakan sebelah tangan je la. Kepada kawan-kawan YM saya, jika tulisan saya menggunakan terlalu banyak singkatan, banyak kesalahan ejaan dan lambat respon tu, faham-fahamlah ye.

3. Menyiapkan kerja
Jika ada kerja-kerja urgent, ia juga dapat disiapkan sambil Ahmad menyusu. Sebelah tangan pegang Ahmad, sebelah lagi menaip. Ternyata ia lebih memberi banyak ransangan kepada otak mengeluarkan idea-idea atau berfikir dengan ligat. Saya pun rasa ajaib. Subhanallah.

4. Membaca
Hobi saya membaca. Tidak kira, buku, majalah atau suratkhabar. Jadi, saya akan sediakan bahan-bahan bacaan di kepala katil atau bawah bantal, di sofa atau di tempat-tempat saya menyusukan Ahmad. Saya pernah menghabiskan sebuah novel yang saya baca hanya sewaktu menyusu dan menemani Ahmad tidur. Selalunya, Ahmad akan menepis buku itu. Kerana dia perlukan perhatian saya.

5. Bermain game telefon
Selalunya Ahmad akan berebut telefon itu dari tangan saya. Tapi, jika beliau sudah terlalu mengantuk, memang tak hirau pun. Ok, saya risau, Ahmad suka main games apabila besar nanti. Jadi, sedikit demi sedikit saya mengurangkan aktiviti ini. Lebih banyak melakukan aktiviti no 4. Walaupun ia agak bermasalah sikit (buku yang dibaca akan dikeronyok oleh Ahmad apabila dia bangun tidur nanti).

 6. Tidur
Owh, ini tidak perlu diulas panjang ;)
Saya hanya menemani Ahmad tidur.

p/s: Post ini bukan panduan, tapi hanya perkongsian. Yang tak berkaitan, pi main jejauh ;)

28 March 2011

Sup Gear Box

"Jom joging." Selepas doa selepas solat Asar selesai dibaca, saya mengaminkan dan mengucup tangan En Suami, beliau dengan yakin mengungkap ayat ini.
Saya terus senyum dan mengangguk. Walaupun badan masih rasa letih, lemah-lemah akibat demam. Tapi, keinginan mengambil angin segar di petang hari sangat mengujakan. Terbayang-bayang Taman Tasik Cempaka yang dipenuhi dengan pelbagai bangsa dan peringkat umur. Sesungguhnya orang Bangi suka bersenam.

Kami bersiap seadanya. Kemudian turun ke kereta. Tapi En Suami gagal mencari kasut beliau yang dikatakan ditinggalkan dalam bonet kereta. Beliau memanjat tangga, naik ke rumah. Mencari kasut di dalam rumah.
Namun turun dengan muka kekecewaan. Sebaliknya mengunjukkan kepada saya beberapa buku iklan Tesco, Carrefour dan iklan along. Dengan muka kecewa beliau mengajak ke Warta atau PKNS.
Sambil membelek-belek iklan di tangan, saya menyarankan PKNS.
"Erm, ok juga. Boleh ke Syabab." Ujar En Suami.
Hati saya berbunga riang. Itulah niat di hati saya. Terbayang-bayang buku-buku yang bakal saya gendong pulang nanti.
Saya terus menelek buku iklan. Rumah saya tiada TV, jadi setiap kali dapat iklan, kami akan melihat iklan TV. Melihat jenis, jenama dan harga yang terpapar di setiap iklan.
"Yang paling murah, RM299. 21 inci, tapi jenis lama (bukan plasma, HD atau flat skrin). Jenama tidak dapat dikesan," saya melaporkan.
"Ok juga tu. Di mana?" Soal En Suami.
"Carrefour" Balas saya.
Bla, bla, bla.
-
-
Kereta di pandu melepasi PKNS. Saya hanya mampu memandang dengan kecewa. En Suami sudah lupa. Tadi katanya mahu ke PKNS, ke Syabab. Hati saya sedih.

Kereta dipandu terus ke arah Warta. Mengambil jalan jauh. Saya yakin, tadi beliau memang hendak ke PKNS sebab melalui jalan ke arah itu.
"Kita ke Warta lah. Abang hendak beli kasut sukan. Entah ke mana kasut itu. dah hilang kot." Alasan beliau.
"Ok, boleh beli barang-barang rumah juga" Saya menyahut.
Kami lihat kereta bersusun di tepi-tepi jalan sekeliling Warta. Minggu gaji. Kami masuk ke kawasan parking bawah Warta. Tapi melihatkan kereta yang bersusun mencari parking, kami agak kecewa. Sebuah kereta dari tapak parking bawah bergerak menghala ke aras kami. Menunjukkan parking aras bawah juga penuh. Kami terus keluar dari kawasan itu.
"Baik kita makan. Saya sudah lapar." Ujar saya sambil menelek jam pada dashboard. Hampir 6.30 petang.
"Ok juga. Mesti ramai orang tengah shopping dan beratur mahu membayar dalam sana." Suami saya menyokong.
 "Lagipun dah hampir Maghrib. Tergesa-gesa pula nanti," Saya mewajarkan permintaan perut sendiri.
"Mahu ke mana? Abang tidak mahu western food. Sudah beberapa kali dalam bulan ini makan western."
"Jom ke Sup Gear Box." Saya menyatakan keinginan di hati. Sudah banyak kali kami ingin ke sana, tapi selalunya ada halangan. Harap-harap kali ini menjadi.
"Saya masih pahit mulut dan rasa tidak berselera untuk makan. Mungkin sup dapat membantu." Saya menambah alasan.
"Ok. Tapi Gear Box itu apa?" Suami saya bertanya. Entah lah, tidak dapat dikesan samada beliau memang tidak tahu atau sengaja menguji saya.
"Gear Box tu bahagian kepala lutut lembu." Saya menjawab ringkas. Terbayang di kepala, setiap kali Hari Raya Haji, kami adik beradik berebut bahagian itu. Terutama menyedut lemak di dalam kepala lutut itu dengan straw atau teknik-teknik yang dicipta dan dipelajari dari abang-abang.  
 En Suami bertindak mengikut arahan.
Akhirnya kami sampai juga ke Warung Dusun, Sup Gear Box.
Signboard Warung Dusun (hasil bertanya kepada En Google)

"Nasi goreng biasa satu, nasi goreng cina satu, sup gear box satu."
Servisnya cepat. layanan baik dan kami suka dengan suasananya.
Jemputlah datang. hehehe...
Contoh sup gear box dari En Google. Baki sup gear box kami semalam masih tersimpan dalam peti ais.  

23 March 2011

Tiada yang kekal

"Barang kesayangan saya telah rosak. Dirosakkan oleh kawan terdekat sendiri." Luah seorang sahabat pagi itu.
Saya menoleh ke arahnya sambil tersenyum.
 Beliau bertanya, "Apa perlu saya buat terhadap orang itu? Saya sangat marah."
Jawapan saya, "Tiada apa yang kekal di dunia ini. Allah bagi pinjam sementara sahaja. Baru-baru ini saya pun pernah kehilangan satu barang berharga. Namun, saya berlapang dada."
Kawan saya senyap. Saya menyambung...
"Suami saya selalunya tidak marah atau mengeluh jika barang rosak atau hilang. Saya belajar daripada dia. InsyaAllah, Allah ganti dengan lebih baik."
Itu cerita beberapa hari lepas.

Keesokannya, saya mendengar motivasi pagi di radio IKIM. Poin utama pagi itu adalah, apabila seseorang datang menceritakan masalah kepada kita, jangan cepat-cepat memberi nasihat. Mungkin dia tidak memerlukan nasihat waktu itu. Dia hanya perlukan tempat untuk meluahkan perasaan sahaja. Jika perlu nasihat, usah sampaikan nasihat itu secara terus. Sampaikan melalui cerita.

Masukkan diri kita ke dalam situasi orang itu, dan berikan solusi yang kita lakukan. Dia akan mengambil pengalaman kita sebagai contoh.