Pagi ini, En Suami ke tempat kerja menaiki kereta. Seawal 6.30 pagi sudah siap memanaskan kereta. Sebabnya? Motor kesayangan beliau bocor tayarnya. Ia berlaku sewaktu pulang dari tempat kerja petang semalam. Pada malamnya, ada kelas DS yang perlu dihadiri. Tidak sempat untuk menukar tiub tayar yang bocor itu.
Rasanya sudah lebih 5 kali tayar motor beliau bocor sejak kami berkahwin. Sebelum berkahwin, saya tidak tahu. ;)
Saya sangat marah apabila beliau balik dan beritahu,
"Tayar motor bocor."
Saya tahu, ia berlaku secara terancang.
Pernah sekali, telefon bimbit En Suami kehabisan bateri. Beliau menelefon saya melalui telefon pejabat sebelum bertolak pulang. Lebih kurang jam 6 petang. Saya jangkakan 45 minit, beliau sampai ke rumah. Namun, selepas Isyak baru beliau muncul. Hati saya sudah tidak keruan. Maklumlah, waktu itu saya sedang sarat mengandung.
"Tayar motor abang bocor berhampiran Tol Sg Besi. Nasib baik ada seorang mekanik yang lalu, kebetulan mekanik itu hendak mengambil bayaran dari seorang penunggang yang telah dibaiki tayar motornya semalam."
"Apa puncanya?" Soal saya dengan hati yang menggerutu.
"Owh, ada paku melekat pada tayar. Ada juga motor lain yang bocor. Mekanik itu kata, memang di situ, ada orang tabur paku."
"Mekanik itulah yang menaburkannya. Selepas itu, berpura-pura lalu jalan itu, kemudian tolong baiki, ambil bayaran mahal-mahal." Saya membalas.
En Suami hanya diam. Malas menambahkan api kemarahan saya.
-
-
Perkara ini sudah diketahui umum. Kebanyakan orang mengiakannya. Laluan motorsikal di lebuh raya adalah tumpuan utama mereka yang mencari rezeki secara mudah ini. Tetapi tidak halal. Mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Berkatkah?
No comments:
Post a Comment