28 March 2011

Sup Gear Box

"Jom joging." Selepas doa selepas solat Asar selesai dibaca, saya mengaminkan dan mengucup tangan En Suami, beliau dengan yakin mengungkap ayat ini.
Saya terus senyum dan mengangguk. Walaupun badan masih rasa letih, lemah-lemah akibat demam. Tapi, keinginan mengambil angin segar di petang hari sangat mengujakan. Terbayang-bayang Taman Tasik Cempaka yang dipenuhi dengan pelbagai bangsa dan peringkat umur. Sesungguhnya orang Bangi suka bersenam.

Kami bersiap seadanya. Kemudian turun ke kereta. Tapi En Suami gagal mencari kasut beliau yang dikatakan ditinggalkan dalam bonet kereta. Beliau memanjat tangga, naik ke rumah. Mencari kasut di dalam rumah.
Namun turun dengan muka kekecewaan. Sebaliknya mengunjukkan kepada saya beberapa buku iklan Tesco, Carrefour dan iklan along. Dengan muka kecewa beliau mengajak ke Warta atau PKNS.
Sambil membelek-belek iklan di tangan, saya menyarankan PKNS.
"Erm, ok juga. Boleh ke Syabab." Ujar En Suami.
Hati saya berbunga riang. Itulah niat di hati saya. Terbayang-bayang buku-buku yang bakal saya gendong pulang nanti.
Saya terus menelek buku iklan. Rumah saya tiada TV, jadi setiap kali dapat iklan, kami akan melihat iklan TV. Melihat jenis, jenama dan harga yang terpapar di setiap iklan.
"Yang paling murah, RM299. 21 inci, tapi jenis lama (bukan plasma, HD atau flat skrin). Jenama tidak dapat dikesan," saya melaporkan.
"Ok juga tu. Di mana?" Soal En Suami.
"Carrefour" Balas saya.
Bla, bla, bla.
-
-
Kereta di pandu melepasi PKNS. Saya hanya mampu memandang dengan kecewa. En Suami sudah lupa. Tadi katanya mahu ke PKNS, ke Syabab. Hati saya sedih.

Kereta dipandu terus ke arah Warta. Mengambil jalan jauh. Saya yakin, tadi beliau memang hendak ke PKNS sebab melalui jalan ke arah itu.
"Kita ke Warta lah. Abang hendak beli kasut sukan. Entah ke mana kasut itu. dah hilang kot." Alasan beliau.
"Ok, boleh beli barang-barang rumah juga" Saya menyahut.
Kami lihat kereta bersusun di tepi-tepi jalan sekeliling Warta. Minggu gaji. Kami masuk ke kawasan parking bawah Warta. Tapi melihatkan kereta yang bersusun mencari parking, kami agak kecewa. Sebuah kereta dari tapak parking bawah bergerak menghala ke aras kami. Menunjukkan parking aras bawah juga penuh. Kami terus keluar dari kawasan itu.
"Baik kita makan. Saya sudah lapar." Ujar saya sambil menelek jam pada dashboard. Hampir 6.30 petang.
"Ok juga. Mesti ramai orang tengah shopping dan beratur mahu membayar dalam sana." Suami saya menyokong.
 "Lagipun dah hampir Maghrib. Tergesa-gesa pula nanti," Saya mewajarkan permintaan perut sendiri.
"Mahu ke mana? Abang tidak mahu western food. Sudah beberapa kali dalam bulan ini makan western."
"Jom ke Sup Gear Box." Saya menyatakan keinginan di hati. Sudah banyak kali kami ingin ke sana, tapi selalunya ada halangan. Harap-harap kali ini menjadi.
"Saya masih pahit mulut dan rasa tidak berselera untuk makan. Mungkin sup dapat membantu." Saya menambah alasan.
"Ok. Tapi Gear Box itu apa?" Suami saya bertanya. Entah lah, tidak dapat dikesan samada beliau memang tidak tahu atau sengaja menguji saya.
"Gear Box tu bahagian kepala lutut lembu." Saya menjawab ringkas. Terbayang di kepala, setiap kali Hari Raya Haji, kami adik beradik berebut bahagian itu. Terutama menyedut lemak di dalam kepala lutut itu dengan straw atau teknik-teknik yang dicipta dan dipelajari dari abang-abang.  
 En Suami bertindak mengikut arahan.
Akhirnya kami sampai juga ke Warung Dusun, Sup Gear Box.
Signboard Warung Dusun (hasil bertanya kepada En Google)

"Nasi goreng biasa satu, nasi goreng cina satu, sup gear box satu."
Servisnya cepat. layanan baik dan kami suka dengan suasananya.
Jemputlah datang. hehehe...
Contoh sup gear box dari En Google. Baki sup gear box kami semalam masih tersimpan dalam peti ais.  

No comments: