** cerita ini hanya rekaan semata-mata. Tiada kaitan antara yang masih hidup atau telah pergi atau anak sesiapa**
Daniel cepat-cepat lari ke arah tangga. Memanjat tangga ke tingkat atas dengan segera. Daniel mengurung diri dalam bilik. Pintu bilik dikunci dari dalam. Daniel yakin ibunya tidak dapat menembusi biliknya. Kuncinya sudah Disimpan awal-awal.
Ibunya mengetuk pintu kayu setebal buku novel cinta remaja itu. Tiada tindakan. Daniel nekad.
“Daniel tidak mahu ikut,” laungnya dari atas katil.
“Tapi mama hendak pergi lama. Selepas jumpa kawan mama, kita ke kedai mainan.” Umpan ibunya.
Kedai mainan
Hatinya mula goyah.
“Kereta kawalan Daniel yang sudah tercabut tayar itu mama akan gantikan. Yang lebih canggih,” Umpanan ibunya semakin menarik.
Daniel menoleh ke kotak besar yang menghimpunkan semua koleksi mainannya. Kereta kawalan jauh berwarna merah terletak di tepi kotak itu. Sudah seminggu tersadai di situ.
Tidak. Mengikut mama ke rumah kawannya sangat membosankan.
“Tidak mahu,” laungnya. Yakin. Daniel boleh meminta mainan Dari ayahnya. Ayahnya lebih bermurah hati.
“Baiklah. Jika begitu, Daniel tinggal seorang. Boleh tak?”
“Boleh,” Jawapan yakin dari Daniel. Sepatutnya dia mengungkapkan InsyaAllah, seperti yang diajar oleh gurunya.
Seterusnya Daniel menadah telinga mendengar pesanan-pesanan ibunya.
Jangan main api.
Jangan main pisau.
Jangan mandi lama-lama.
Kalau lapar, makan di dapur. Jangan sepah-sepahkan.
Jangan lupa tutup saji lepas makan.
Jangan lupa tutup pesi ais lepas ambil minuman.
Jangan buka pintu jika ada orang yang tidak dikenali datang.
Daniel menyahut dengan patuh setiap pesanan itu.
“Ya, mama,”
“Ok, mama pergi dahulu. Jangan lupa ya pesanan mama tadi,”
Daniel melompat dari katil. Membuka pintu biliknya. Ibunya masih tercegat di situ. Tersenyum.
Daniel menghulur tangan. Menyalami ibunya Dengan santun. Itulah yang dipelajari dari sekolahnya. Hormati ibu bapa. Dengar kata-kata ibu bapa. Walaupun tindakannya tadi dikira tidak menghormati ibunya, tetapi Daniel cepat-cepat bertindak bagi menyenangkan hati ibunya semula.
“Telefon mama jika ada apa-apa berlaku ya.” Ujar ibunya sambil mencium pipinya. Lekat sedikit gincu di pipi montelnya. Mungkin gincu murah yang dikenakan ibunya hari ini.
“Baik mama,” Ujar Daniel sambil cepat-cepat menutup pintu biliknya. Dia risau. Terpengaruh untuk mengikut ibunya. Bunyi kereta ibunya menderu keluar Dari garaj rumah banglo Dua tingkat itu. Pagar automatik tertutup dengan perlahan. Daniel melihat ke arah kereta itu sehingga ia hilang di hujung simpang taman perumahan itu.
Daniel merebahkan badan di atas katil bujangnya. Bukan sebab penat, tetapi kelegaan. Satu kelegaan dapat mengelakkan diri dari mengikut ibunya menjalankan perniagaan.
Ibunya seorang usahawan yang gigih. Pelbagai jenis perniagaan yang dijalankan. Semuanya secara kecil-kecilan. Secara online atau offline. Ibunya berhenti kerja kerana sudah jemu mengikut rutin harian. Menempuh kesesakan jalan raya setiap hari ke tempat kerja. Sekarang semuanya boleh dilakukan dengan bebas. Tidak perlu menghadap muka bos yang sentiasa meminta laporan setiap akhir bulan.
“Kruuk,kruuk,”
Daniel mendengar satu bunyi yang begitu dekat dengan dirinya. Tangannya segera diletakkan pada perutnya. Ya. Bunyi perutnya. Daniel sangat lapar.
Dia melompat turun dari katil. Melangkah ke ruang bawah. Masuk ke dapur. Membuka tudung saji di atas meja.
Wah, sangat menyelerakan.
Lauk ayam masak sambal.
Sup ayam dan sayur.
Begedil goreng.
Dia cepat-cepat membasuh tangan di sinki. Dicapai pinggan di rak tepi sinki itu dan menyenduk nasi dalam periuk. Perbuatan itu sudah biasa dilakukan. Ibunya melatih mereka adik beradik berdikari mengambil nasi sendiri dalam periuk. Sedikit nasi tumpah ke lantai sewaktu dia mencedukny. Dibiarkan. Tidak mengapa.
Ibunya tidak akan marah. Lagipun, dari senarai pesanan ibunya tadi, tiada menyebut agar jangan menumpahkan nasi. Hanya jangan sepah-sepahkan. Daniel bukan sengaja sepah-sepahkan nasi itu. Nasi itu tertumpah. Itu pemahaman Daniel, seorang kanak-kanak berumur 5 tahun. Seorang pelajar PASTI.
Daniel mengunyah nasi sambil menggoyang-goyangkan kakinya. Dia tahu perbuatan itu kurang beradap. Tapi dia makan berseorangan. Tiada siapa memerhatikannya. Dia bebas melakukan apa sahaja.
Tiba-tiba loceng rumah itu berbunyi. Daniel membiarkan sahaja. Mungkin ada ahli keluarganya yang balik. Tetapi mereka semua ada kunci rumah. Mustahil pula mereka mengetahui Daniel keseorangan di rumah.
Ya, Home Alone. Melainkan ibunya mencanangkan kepada mereka. Daniel mendongak memandang jam dinding di dapur itu. Tapi Daniel tidak mengetahui waktu sekarang pukul berapa. Pembelajaran di sekolahnya masih belum masuk bab itu. Belum belajar membaca jam.
Dia cepat-cepat membasuh tangan di sinki. Meninggalkan pinggan nasinya. Yang masih belum habis dimakan.
Pesanan ibunya,
Jangan lupa tutup saji lepas makan.
Tapi Daniel masih belum habis makan. Jadi, tidak perlu menutup saji.
Daniel mengintai dari sebalik langsir tingkap bersebelahan pintu rumah. Seorang lelaki bertopi memegang sebuah kotak berdiri terhendap-hendap depan pagar rumahnya. Orang yang tidak dikenali. Sebuah kotak berbalut kertas coklat dipegang lelaki itu.
Mungkin ada bom di dalam kotak itu!
Fikiran Daniel mula menerawang. Bom itu dihantar oleh Hasif yang marah dengannya. Masih terbayang muka Hasif tadi. Sewaktu dia melambai dari dalam kereta sewaktu diambil ibunya. Muka penuh dendam.
Kerana?
Daniel menumpahkan air milo, bekalan Hasif. Daniel bukan sengaja menumpahkan air itu. Dia tersepak air itu. Dia sudah bersalam dan meminta maaf dengan Hasif yang menangis tersedu-sedu. Walaupun tangannya sudah bersambut, namun Hasif masih marah. Ungkapan maaf diungkap tanpa keikhlasan.
Ya, lelaki itu dihantar oleh Hasif. Sangat bahaya. Lelaki itu mahu meletupkan rumahnya.
Daniel semakin cemas. Orang itu masih tidak berganjak dari depan rumahnya. Mundar-mandir. Mungkin sedang memikirkan lokasi untuk meletakkan kotak berisi bom itu. Lokasi yang sesuai supaya rumah itu hancur lebur.
Nyawa Daniel dalam bahaya!
*****bersambung*****
2 comments:
Cerpen yang menarik. Cepat2 sambung ye...
Terima kasih k Tirana.
Sy dh ke blog akak beberapa hari lepas. sgt menarik. Akan ke sana lg... byk sgt artikel yg perlu sy hadamkan dr situ...
Post a Comment