27 September 2011

Akhirnya konvo juga ~Part 1~


Alhamdulillah... Akhirnya selesai juga majlis konvokesyen semalam. 26 September 2011. Saya coretkan sedikit pengalaman (kronologi) untuk tatapan masa depan.

7.00 pagi.
Kami sekeluarga siap sedia untuk bergerak ke Majlis Konvokesyen UKM sidang 5. Ahmad siap dimandikan walaupun cadangan asal hendak bawa dia yang masih mamai tanpa dimandikan. Suami boleh mandikan Ahmad di masjid UKM.
Tapi Ahmad bangun awal, jadi saya mandikan terus. Bekalan Ahmad siap dibungkus.Harap-harap dia ok di bawah pantauan papanya. ;)

Fiza telefon sewaktu kami melangkah ke kereta.
iv>
"Aku belum bertolak lagi. Mak aku seorang sahaja yang ikut. Suami, mak mertua dan ayah aku tak jadi masuk Dectar. Jadi, tak perlu ambil kad engkau." Fiza melaporkan dari Dengkil.
"Ok, tak apa. Kita jumpa nanti."
Kad jemputan ke Sidang 5. Tiada ahli keluarga saya yang dapat masuk. Jadi, saya hadiahkan kepada Fiza. (Kira hadiah kahwin la kot.)

"Engkau ada kasut lebih tak? Kasut aku ni, tak tahu mana aku letaknya." Suara Fiza cemas.
"Aku ada sepasang sahaja kasut. Itu pun aku tak tahu ok or tak." Saya menjawab sambil memikirkan kasut dalam beg kertas yang saya keluarkan dari stor 2,3 hari lepas. Itu sahaja kasut tertutup bahagian depan yang saya miliki. Kali pertama dan terakhir digunakan sewaktu Majlis Konvokesyen 2007. Selepas itu, ia selamat berada dalam kotak di dalam stor.


7.50 pagi:
Kami sampai di UKM. Setelah menempuh jem yang agak teruk. Itupun setelah mengikut jalan pintas. Suami sempat singgah membeli kuih dan nasi lemak untuk sarapan. Sempatlah saya makan 2 biji kuih dalam kereta sambil menyusu Ahmad. Kami parking kereta berhampiran padang Pavillion UKM. Jauh juga menapak ke Dectar.

8.00 pagi:
Graduan berkumpul di bahagian tepi pintu B Dectar. Saya masih menunggu Fiza dan Fafa. Sementara itu suami ke tandas. Seorang penyambut tetamu memanggil graduan-graduan Sarjana untuk bersiap sedia untuk masuk ke dewan. Fiza sampai dalam kelelahan. Saya menyuruh Fiza masuk terlebih dahulu. Beratur bagi pihak saya. Waktu itu, saya baru mengenakan jubah, topi dan terkial-kial mengeluarkan kasut dari beg kertas. Selepas memakai kasut, mencium Ahmad yang masih terkebil-kebil melihat orang ramai, saya berlari ke pintu. Mengekori Fiza dan Rina. Semua graduan Sarjana FST sedang beratur di bahagian foyer Dectar. Kami terus masuk ke barisan paling hujung. Mungkin itu barisan paling belakang.

8.15 pagi:
Kami diarahkan bergerak untuk perarakan masuk melalui pintu depan. Rupanya barisan yang kami masuk itu adalah barisan pertama. Sementara menunggu untuk pengumuman perarakan masuk, NC UKM datang berbual-bual dengan graduan. Kami bertiga antara yang ditemuramah =). Tapi saya agak malas melayan soalan-soalan NC tersebut, jadi saya membelakangi beliau sambil menelefon Fafa dan SMS suami. Saya tidak bersedia memberitahu: "I am a housewife."

Gambar dari laman web UKM. NC, Rina dan Fiza. Saya berdiri di sebelah Fiza. Nampak tak? ;)
8.30 pagi:
Kami berarak masuk ke Dectar. Fuh, sangat teruja. Rasa sangat bangga. Haha...
Sewaktu melangkah menuruni tangga, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kasut yang dipakai. Tapi langkah tetap diteruskan juga. Apabila mendapat tempat duduk, barisan pertama graduan, saya membelek kasut. Ya Allah, kasut ini sudah terbuka bahagian depannya. Tapak kasut kanan sudah hampir tercabut. Kasut kiri pun mengalami nasib yang sama, cuma ia tidak seteruk yang kanan. Saya mula gelisah. Saya menunjukkan keadaan kasut tersebut kepada Fiza. Tiada solusi dapat dibuat.

Saya SMS suami. Dia mencadangkan saya menukar kasut. Memakai sandal Bata yang selalu saya pakai. Saya berkeras untuk keluar dari Dectar dan meninggalkan majlis. Jika naik ke pentas, kemungkinan kasut itu akan tercabut. Malu besar nanti. Suami saya pula tetap berkeras supaya saya naik mengambil skroll. Mengenangkan suami yang sudah bersusah payah sepanjang minggu ini melayan saya -> mengambil jubah, membeli tudung baru, mengambil cuti untuk menjaga Ahmad dan terpaksa ke pejabat pada hari Ahad untuk menyiapkan kerja yang sepatutnya disiapkan hari Isnin. Saya akhirnya setuju untuk naik ke pentas juga.
Saya tertoleh ke belakang tempat duduk. Seorang graduan di barisan belakang saya juga memakai sandal biasa. Ok, ia menguatkan semangat saya untuk menukar kepada sandal.

Suami saya akan hantar sandal Bata kesayangan ke pintu tepi untuk saya tukar. Saya meminta izin dari seorang petugas untuk ke tandas.
"Jubah perlu ditanggalkan, tapi topi perlu dipakai." Oh, peluang untuk saya lari meninggalkan majlis ini agak nipis.

Sewaktu menaiki tangga tepi untuk ke tandas, seorang petugas memberitahu arah ke tandas, "Jalan terus, belok kiri."
Saya mengangguk sambil tersenyum.
Namun seorang lagi petugas/ pegawai UKM nampak langkah kaki saya yang kekok dan tapak kasut yang hampir tertanggal. Beliau bertanya, "Mahu menukar kasut ye? Ada orang yang akan hantar kasut lain?"

"Ya, ada, suami saya." jawab saya dengan kelegaan. Rupanya semua pintu telah ditutup, tiada orang yang boleh masuk atau keluar lagi.
"Ok, awak telefon dia, suruh datang sini. Apabila dia sudah datang, minta pengawal bukakan pintu."
Saya segera mengangguk dan menelefon suami. Meminta suami ke pintu lobi A. Di bahagian luar, orang ramai yang tidak sempat masuk kerana terlewat, mengetuk-ngetuk pintu dan melambai ke arah saya. Minta untuk dibukakan pintu. Patutlah pegawai-pegawai itu menjauh dari pintu, rupanya supaya tidak rasa bersalah.
Ya Allah, serba salah dibuatnya. Mereka marah-marah kerana tidak dapat masuk.
Akhirnya suami muncul sambil mengelek Ahmad dan membimbit 2 buah beg. Kesian sungguh dia.
Saya memanggil pengawal, meminta untuk dibukakan pintu. Pengawal ingin membuka pintu pertama, orang ramai terus menyerbu ke arah pintu tersebut sambil menunjukkan kad jemputan masing-masing. Pegawai-pegawai yang berdiri berhampiran saya menggelengkan kepala.
"Tidak boleh buka pintu ini. Minta suami awak ke Panggung Seni. Tukar kasut di sana."
"Saya keluar boleh tak?" Soal saya.
"Tak boleh, nanti orang luar menyerbu masuk."
Pengawal bergerak pintu ke 2. Pintu itu dibuka. Orang ramai bersedia untuk masuk.
"Siapa yang hendak hantar kasut? Dia sahaja dibenarkan masuk." Pengawal menjerit dengan tegas.
Suami saya terselit di tengah-tengah orang ramai. Tidak dapat bergerak ke depan. Dia hanya mampu menghulurkan kasut saya kepada orang-orang di depan pintu, akhirnya, sandal Bata saya yang berusia 1 tahun 4 bulan itu (usia ia dibeli) selamat saya pakai. Setelah mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai dan pengawal yang membantu, saya melangkah ke dalam dewan.

Kasut yang tercabut tapak itu? Saya campakkan ke dalam tong sampah tepi pintu.

4 comments:

Anonymous said...

Tahniah. Macam cerita cinderalla pula :) Mesti sangat nervous kan. Teringat tahun 2007, saya pinjam kasut put. Besar. Risau kalau tertinggal atas pentas... hamka

MamaNasih said...

haha... cinderalla...
tu la, sebelum pakai tak cek dulu. Nanti baca sambungan bahagian 2...

NabilaHasyim said...

Laa, kami dulu pun konvo pakai sandal, xtau pun kena pakai kasut bertutup, selamba gila. Awal tu takut juga, kot2 kena halau, tp pegawai tengok xtegur pun...belasah la...

kalau uitm, diorg sedia kasut utk student yg xmenepati syarat ni, emmmmm

MamaNasih said...

Nabilah, UkM xde la strict sangat.
haha... tak sangka boleh jadi camtu. lepas tu, dah malu nak pi toilet. malu kat pak cik2 yg jaga area pintu tu.

ok, hadiah konvo kami, kasut baru dari encik Sopi. Tapi xtau bila nak p beli.